KEJAYAAN membawa Kedah muncul juara Liga Perdana 2015 adalah permulaan kepada musim cemerlang Tan Cheng Hoe bersama skuad Lang Merah.
Kejayaan membawa Kedah menjulang Piala Malaysia, menamatkan kempen Liga Super di tangga ketiga dan melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA musim ini menyebabkan saham jurulatihnya, Tan Cheng Hoe melambung.
Sebaik sahaja tamat Piala Malaysia, Ahad lalu, jurulatih berusia 48 tahun itu pantas dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa pasukan tanah air, termasuk Pulau Pinang kerana kontraknya bersama Lang Merah tamat, hujung tahun ini.Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang tidak mahu kehilangan jurulatih kesayangan mereka itu dikatakan sanggup menaikkan gajinya sehingga RM100,000 sebulan bagi memastikan kepakaran Cheng Hoe tidak terlepas ke tangan pasukan lain.
“Saya boleh katakan 90 peratus Cheng Hoe akan kekal di Kedah kerana dia mungkin diberi tawaran kontrak yang lebih lumayan dan dianggarkan hampir RM100,000 sebulan.
“Jadi besar kemungkinan dia tidak akan berhijrah ke pasukan lain, walaupun dikaitkan dengan Pulau Pinang.
“Saya juga difahamkan Kedah bakal mendapat peruntukan lebih besar berbanding sebelum ini kerana mereka telah menjuarai Piala Malaysia.
Sementara itu, Cheng Hoe mengakui, dia ada dirisik beberapa pasukan dalam Liga Malaysia, namun menegaskan masa depannya bersama Kedah bergantung kepada pengurusan KFA sama ada mereka mahu menggunakan khidmatnya atau tidak, musim depan.
Enggan mendedahkan pasukan mana yang cuba merisik, jurulatih itu sebaliknya berkata, buat masa ini hatinya bersama Lang Merah.
“Kontrak saya tamat pada bulan ini dan sama ada saya kekal bersama Kedah atau tidak itu bergantung kepada pihak pengurusan untuk menentukannya.
“Memang ada beberapa pasukan berminat untuk mendapatkan khidmat saya tetapi saya tidak boleh beritahu anda (media) berapa pasukan yang melamar saya,” katanya.
Cheng Hoe juga adalah orang yang bertanggungjawab membawa Kedah muncul juara Liga Perdana musim lalu, kejayaan yang membolehkan mereka kembali bersaing dalam Liga Super.
Selain itu, dia turut membantu Lang Merah melangkah ke final Piala Malaysia tetapi tewas 0-2 kepada Selangor.
Kedah bagaimanapun membalas dendam ke atas Selangor dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Ahad lalu apabila menang menerusi penentuan sepakan penalti 6-5 selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Shah Alam.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola