Mohd Hafiz Kamal idam kekal bersama Tok Gajah

Hafiz (kiri) membayangi Zairul Fitree pada pertemuan keduadua pasukan di Kuantan

Selepas mengambil kira pelbagai faktor, pemain tengah Mohd Hafiz Kamal mahu kekal bersama skuad Tok Gajah menghadapi saingan Liga M musim depan.

Pengesahan itu bermakna hasrat Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) yang menagih khidmat anak jati Manjung, Perak itu tidak kesampaian.

Hafiz berkata, keputusannya itu kerana berasa selesa selepas dua musim bersama Pahang yang banyak meningkatkan kualiti permainannya.

Malah kejayaan menjuarai Piala Malaysia juga menjadi pendorong utama untuk dia kekal sejak menyarung jersi skuad Tok Gajah pada 2012.

“Saya berterima kasih kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) terutama Presiden Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang menyambung kontrak saya.

“Bagi menghargai kepercayaan yang diberikan, saya berazam membantu Pahang mencipta kejayaan dalam saingan Liga M musim depan,” katanya semalam.

Selepas menjuarai Piala Malaysia, Pengurus Perak Datuk Azhar Ahmad dilaporkan menawarkan kontrak lumayan kepada Hafiz.

“Tawaran itu selaras dengan matlamat pasukan untuk menyaksikan lebih ramai anak jati Perak kembali beraksi mewakili negeri kelahiran,” katanya .
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.