Memori Hitam Sabah FA 1995-2015 : 20 Tahun Sudah Berlalu

1995-2015 : 20 Tahun Sudah Berlalu

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)


Tahun 1995 boleh dianggap sebagai tahun keramat dalam kalendar sejarah bola sepak Negeri Di Bawah Bayu.

Tahun yang boleh dianggap gemilang di mana piala pertama telah bejaya dimenangi dan juga tahun tragedi yang mana rasuah telah menarik ramai penyokong bola sepak negeri ini keluar dari Stadium Likas.

Sebilangan besar dari penyokong-penyokong ini tidak pernah kembali lagi ke Likas untuk menonton perlawanan melibatkan pasukan Badak.


Tarikh 8 April 1995 menjadi tarikh keramat bagi pasukan negeri Sabah. Setelah 2 kali gagal di final Piala FA sebelum itu di tangan pasukan Kuala Lumpur, Sabah tampil dengan lebih bersedia kali ini. Namun pencabar kali ini bukan calang-calang lawan, pasukan Pahang.


Dengan beberapa wajah baru menyarung jersi Sabah pada tahun itu, termasuk pemain-pemain kebangsaan dari semenanjung iaitu Khairul Azman Mohammad, Ong Kim Swee dan Yap Wai Loon bergandingan dengan pemain-pemain tempatan yang berpengalaman akhirnya impian menjulang Piala FA tercapai.

Scott Olleranshaw, Matlan Marjan dan Seslija Milomir masing-masing menyumbat 1 gol dan perlawanan berkesudahan Sabah menang 3-1.

Namun, belum pun sampai 2 bulan rakyat negeri Sabah bergembira dengan kejayaan ini, pasukan Sabah telah dilanda masalah mengatur keputusan perlawanan di kalangan pemain utama.

Skandal yang bukan hanya melanda pasukan Sabah tetapi beberapa negeri lain.

Paling mengejutkan dan mengecewakan sekali apabila wira sanjungan peminat bola sepak negeri ini iaitu ketua pasukan, Matlan Marjan turut terlibat dalam skandal ini.


Selain Matlan, pemain lain yang terlibat ialah Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerard Mojiliu, G.Raveychandran dan Charles Tindi.

Pada 26 Jun 1995, G. Raveychandran telah ditahan oleh polis di Lapangan Terbang Kota Kinabalu sewaktu dijadualkan berangkat ke Kelantan.

Manakala Matusin, Junaidy, Gerard dan Charles pula ditahan semasa tiba di KKIA balik dari perlawanan tersebut pada 28 Jun 1995.

Matlan ditahan di rumah beliau di Kingfisher, Likas pada hari sama.


Kesemua 6 pemain ini akhirnya didapati bersalah dan digantung seumur hidup dari aktiviti bola sepak melibatkan FAM.


Mereka juga turut menjalani hukuman buang daerah selama 2 tahun ke beberapa daerah pedalaman negeri Sabah. Khidmat Kelly Tham pula tidak lagi disambung selepas itu.

Namun krisis bola sepak negeri Sabah pada tahun 1995 tidak berakhir di sini. Selain Pemain dan jurulatih, pengurusan dalaman SAFA juga dilanda kontroversi.

Pada 28 Jun 1995, Presiden SAFA ketika itu, Datuk Ghapur Salleh, timbalan beliau Datuk Lajim Ukin dan pengurus pasukan Datuk Anifah Aman telah menghantar surat peletakan jawatan.


Dalam satu mesyuarat SAFA, seorang ahli mesyuarat SAFA, Datu Tigabelas mendakwa Anifah telah membawa pasukan bercuti ke sebuah pulau peranginan negeri ini untuk meraih sokongan.

Anifah yang tidak berpuas hati telah bertegas untuk kekal meletak jawatan sekiranya Datu Tigabelas tidak menarik balik kenyataan beliau.

Anifah menjelaskan tujuan rombongan cuti itu adalah untuk memperbaiki suasana pasukan selepas krisis rasuah melanda.

Walau bagaimana pun atas sokongan penuh dan desakan untuk kekal dari kalangan pemain dan pengurusan pasukan, Anifah membatalkan hasrat beliau dan meneruskan tugasan sebagai pengurus pasukan.

Masalah rasuah juga tidak terhenti selepas penangkapan 6 pemain utama Sabah.

Beberapa minggu selepas penangkapan tersebut, Pengganti Ketua Pasukan iaitu Jainin Tinin juga telah membuat pengakuan yang beliau ada menerima tawaran RM10,000 oleh seorang wakil bookie bola sepak untuk mengaturkan keputusan perlawanan antara Sabah dan Perlis.

Beliau bagaimanapun meminta untuk tidak disenaraikan pada perlawanan itu. Perlawanan tersebut akhirnya dimenangi oleh Sabah 4-0 hasil jaringan hatrik Scott Olleranshaw dan satu gol Harun Laban. Pengurusan SAFA telah bersetuju membayar semula wang yang terima Jainin memandangkan beliau merupakan pemain utama pasukan.

Masalah pembayaran gaji yang membimbangkan pasukan juga telah melanda.

Masalah ini berpunca dari penaja pasukan pada masa itu, Aokam gagal menjelaskan jumlah tajaan selama 2 tahun seperti yang dijanjikan.

Akibatnya prestasi Sabah terus terumbang-ambing.

Ini dipercayai ada hubungan dengan perletakan jawatan Datuk Ghapur yang pada masa itu merupakan Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Akhirnya Datuk Ghapur sendiri telah campur tangan dan berunding dengan Aokam untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.

Sabah mengakhiri kalendar bola sepak tahun 1995 dengan melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada Pahang.

Kini 20 tahun sudah berlalu, suasana bola sepak Sabah telah jauh berbeza.

Selain kejuaraan Liga perdana 1996 dan layak ke final Piala Malaysia sebanyak 3 kali, tidak banyak yang boleh dibanggakan. Stadium Likas juga tidak semeriah dahulu.

Dengan pemain, jurulatih dan pengurusan SAFA silih berganti, tidak banyak harapan diletakkan oleh penyokong terhadap pasukan.


Sebagai anak jati Sabah dan penyokong setia skuad Badak, ayuh sama-sama kita mendoakan kejayaan pasukan ini dan datanglah beramai-ramai ke stadium untuk memberi sokongan.

Semoga tahun ini dan tahun-tahun mendatang kita beroleh kejayaan!

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.