Cisse mahu sarung jersi Spurs
Djibril Cisse mengakui bahawa dia menyambut baik peluang untuk menyertai Tottenham Hotspur pada musim panas ini.
Penyerang itu menghabiskan musim lalu secara pinjaman di Sunderland tetapi kembali ke kelab induknya, Marseille selepas gagal mendapatkan tawaran untuk bermain secara tetap di Stadium of Light.
Cisse, penyerang Perancis itu tidak menyembunyikan keinginannya untuk beraksi di England dan dengan Marseille bersedia mendengar sebarang tawaran dan dia mengakui begitu gembira sekiranya berpeluang berpindah ke utara London.
Pemain berusia 27 tahun itu menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan besar bagi bekas kelabnya Liverpool di White Hart Lane sebelum melakukan perkara sama di Sunderland dan berjaya menarik perhatian seluruh stadium di mana dia juga menyambut baik peluang bekerja di bawah pengurus, Harry Redknapp.
“Secara jujurnya, ya,” kata Cisse ketika ditanyakan sama ada dia akan menerima sebarang kemungkinan menyertai Spurs.
“Ia pasukan yang bagus, stadium yang bagus dan suasana yang baik.
“Ketika ini ia hanya khabar angin. Apabila saya mempunyai berita terbaru, saya akan beritahu anda,” katanya.
Katanya mengenai Redknapp: “Saya mendengar banyak perkara yang hebat mengenainya. Tentunya ia sesuatu yang bagus.”
Bagaimanapun Cisse menegaskan bahawa dia masih belum dihampiri mana-mana kelab, biarpun terdapat khabar angin dia memberitahu pemain Sunderland awal musim ini bahawa dia akan menyertai Spurs.
City goda Barry
Pemain tengah England, Gareth Barry memulakan rundingan dengan Manchester City mengenai kemungkinan akan berpindah ke Eastland dari kelabnya ketika ini, Aston Villa.
Pemain tengah England, Gareth Barry memulakan rundingan dengan Manchester City mengenai kemungkinan akan berpindah ke Eastland dari kelabnya ketika ini, Aston Villa.
Barry, 28, hampir menyertai Liverpool tahun lalu dan dijangka menjadi sasaran sekali lagi musim panas ini.
Bagaimanapun The Reds dilihat perlu menyaingi sebarang tawaran yang dibuat City yang dilaporkan bersedia membayar £12 juta (RM68 juta) bagi pemain yang berbaki hanya setahun dalam kontraknya.
City yang dimiliki Kumpulan Abu Dhabi United dijangka mendapatkan nama besar pada tempoh perpindahan hujung musim dan pengurus Mark Hughes begitu meminati Barry.
Pemain tengah itu ketika ini bersiap sedia bersama England menjelang kelayakan Piala Dunia menentang Kazakhstan dan Andorra dan dijangka tidak akan membuat keputusan mengenai masa depannya hingga selepas perlawanan pada 6 dan 10 Jun ini.
Biarpun City tidak boleh menawarkannya peluang ke Liga Juara-Juara yang menjadi alasan buatnya untuk berpindah ketika Liverpool membuat tawaran tahun lalu, Barry mungkin tertarik untuk ke Eastland dengan bayaran tinggi dan peluang berada dalam kesebelasan utama menjelang Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan.
Barry menghabiskan keseluruhan kariernya di Villa dengan 400 penampilan sejak menyertai skuad remaja.
Perlawanan percuma untuk peminat Kijang
Selepas kerap membilang kekalahan di gelanggang lawan dan bebanan kewangan semakin mengancam, Persatuan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) kini boleh menarik nafas lega.
Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pasukan tersebut kembali beraksi di gelanggang sendiri, Stadium Sultan Muhammed IV di sini bermula 16 Jun ini suatu yang dinanti-nantikan.
Bagi mengucapkan tanda terima kasih kepada para penyokong setianya, KAFA akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang KL Plus dan Selangor, Jumaat ini yang boleh disaksikan secara percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif KAFA, Mohd. Nor Yaakob berkata, perlawanan persahabatan pertama menentang KL Plus akan diadakan pada pukul 8.45 malam dan hanya tempat duduk astaka dikenakan bayaran RM10.
Beliau berkata, perlawanan menentang Selangor akan diadakan pada Selasa depan dan ia akan dipantau oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamaruddin Abdullah serta seorang wakil daripada jawatankuasa pertandingan.
"Perlawanan ini diadakan sebagai tanda terima kasih kita selepas dibenarkan semula untuk beraksi di gelanggang sendiri dan kita juga ingin menunjukkan kepada semua pihak bahawa perlawanan yang diadakan di sini akan berlangsung dalam keadaan yang baik.
"Perlawanan menentang Selangor amat penting kerana semua aspek pada perlawanan tersebut termasuk beberapa perkara yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang perlu dilakukan oleh KAFA dan Perbadanan Stadium," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mohd. Nor berkata, jawatankuasa tersebut telah mengarahkan KAFA supaya gelanggang perlawanan perlu dilengkapi dengan terowong laluan pemain, pagar keselamatan secara tetap dan pondok penjualan tiket.
Katanya, persatuan tersebut dengan kerjasama perbadanan stadium dalam proses untuk menyiapkan kesemua arahan tersebut bagi memastikan Kelantan dapat beraksi di gelanggang sendiri.
"Saya bagi pihak KAFA memohon kepada para penonton supaya menjaga tatatertib pada perlawanan persahabatan ini dan perlawanan selanjutnya kerana ia akan memberi kesan kepada pasukan untuk beraksi di gelanggang ini pada masa depan.
"Perlawanan persahabatan ini juga hadiah kepada para penyokong yang setia memberikan sokongan kepada pasukan kita sehingga mencatatkan kejayaan menjejakkan kaki ke final piala FA baru-baru ini walaupun tewas," katanya.
Tambahnya, ia juga sebagai persediaan para pemain untuk menempuh pusingan kedua Liga Super selepas berhenti rehat selama dua minggu.
FAM, Sathia belum capai kata putus
Pertemuan antara bekas jurulatih bola sepak kebangsaan B. Sathianathan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor, semalam bagi mencari penyelesaian mengenai penamatan kontrak Sathianathan sebagai jurulatih, gagal menghasilkan sebarang kata putus.
Sathianathan, sebaliknya terpaksa menunggu maklum balas daripada badan induk bola sepak kebangsaan untuk tindakan selanjutnya.
"Ini merupakan satu perbincangan yang baik dan saya kini akan menunggu langkah FAM selanjutnya, serta keputusan yang akan diberikan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor berhubung perkara ini," kata Santhianathan ketika ditemui pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, pihak jabatan tidak memberikan tempoh masa tertentu kepada FAM untuk menyelesaikan perkara itu, namun berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Pada perbincangan itu saya kemukakan apa yang saya mahu dan tindakan ini adalah kerana rasa kurang puas hati terhadap penamatan perkhidmatan saya oleh FAM," katanya.
Sathianathan bagaimanapun enggan mengulas mengenai jenis dan bentuk tuntutan yang dikemukakan olehnya terhadap FAM.
FAM pada perbincangan kira-kira 45 minit itu diwakili oleh Ketua Jabatan Pertandingan Tempatan, Ahmad Fuad Daud serta Ketua Jabatan Pentadbiran dan Pengurusan, Wan Salomi Shaari.
Festival bola sepak bawah 14 AFC bermula
Sebanyak 12 negara mengambil bahagian dalam Festival Bola Sepak Asia bawah 14 tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selama dua minggu di Kompleks Sukan Likas di sini.
Festival anjuran AFC dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan negeri dan Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) ini bermula 24 Mei lalu dengan aktiviti sampingan seperti klinik sukan, sebelum diteruskan dengan perlawanan membabitkan pasukan dari 12 negara berkenaan.
Ia dirasmikan oleh Presiden Bola Sepak Sabah (Sabah FA), Datuk Lawrence Gimbang di Stadium Likas, semalam.
Dalam ucapannya, Lawrence berkata, penganjuran festival ini merupakan penghargaan bermakna buat Sabah selepas tiga tahun menjadi tuan rumah acara ini sejak 2007.
''Kita amat berbangga kerana festival ini berjalan lancar dan mendapat liputan yang baik sepanjang tiga tahun ini.
''Namun, yang lebih penting ialah pendedahan kepada remaja kita mengenai asas utama dalam bola sepak kerana sebagai pemain perlukan kemahiran individu yang tinggi," katanya.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas perasmian itu, pengurus Projek AFC, Dr. R. Annathurai berkata, Festival Bola Sepak Asia Bawah 14 tahun AFC perlu diteruskan demi pembangunan bola sepak rantau Asia khususnya di Malaysia.
''Dalam usaha memajukan bola sepak di rantau ini ke peringkat lebih tinggi, kita perlu melahirkan pemain bertaraf antarabangsa yang memiliki semangat kesukanan dan berdisiplin.
''Justeru, festival ini merupakan lapangan terbaik ke arah merealisasikan matlamat itu kerana kajian yang dijalankan AFC di kalangan ketua jurulatih seluruh negara bersetuju bahawa kita perlu didik pemain dari peringkat akar umbi," katanya.
Terry tagih impian besar daripada Ancelotti
Ketua pasukan Chelsea, John Terry mengakui tugas pertama Carlo Ancelotti di Stamford Bridge memastikan Blues sebagai pesaing utama Liga Perdana England musim depan.
Ancelotti kelmarin menandatangani perjanjian tiga tahun yang bernilai 6.5 juta pound (RM37.2 juta) setahun bagi menggantikan tempat Guus Hiddink sebagai pengurus kelab barat London tersebut.
Pengendali dari Itali itu menjadi sasaran pemilik Chelsea, Roman Abramovich kerana latar belakangnya yang mempunyai kejayaan memberangsangkan dalam kancah Liga Juara-Juara Eropah.
Ancelotti mempunyai rekod ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali ketika membimbing AC Milan dan dua daripada penyertaan itu berakhir dengan kemenangan.
Malah, dia juga pernah merasai nikmat kejuaraan kejohanan Eropah tersebut ketika menjadi pemain Milan suatu ketika dahulu.
Namun begitu, pemain pertahanan England, Terry lebih memberi tumpuan kepada prestasi cemerlang Chelsea di peringkat liga tempatan, selepas Blues menamatkan musim ini di luar daripada dua pasukan terbaik buat kali pertama sejak kelab itu dibeli Abramovich pada 2003.
Hiddink meninggalkan Chelsea dengan merangkul Piala FA, Sabtu lalu.
Malah, Ancelotti berkeyakinan bahawa kelab itu mampu mengakhiri kejayaan tiga tahun berturut-turut Manchester United muncul sebagai juara Liga Perdana England.
Terry yang begitu yakin bahawa Chelsea akan mengakhiri kemarau gelaran tersebut berharap agar Ancelotti adalah seorang pengendali yang mampu membawa kembali gelaran tersebut ke Stamford Bridge.
Dalam satu surat terbuka kepada peminat setia Chelsea, Terry berkata: "Dia (Hiddink) hadir pada masa yang sukar apabila banyak perkara seolah-olah terlepas daripada kami.
"Oleh yang demikian, membimbing pasukan ini ke perlawanan akhir Piala FA dan berada begitu hampir ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara adalah satu pencapaian yang hebat.
"Malah, ada yang menyatakan bahawa kedudukan tiga terbaik liga adalah satu pencapaian yang belum cukup bagus buat Chelsea.
"Ia merupakan kesudahan paling buruk buat kelab ini sejak dibeli oleh Abramovich. Kami tahu bahawa pasukan ini boleh melakukan yang lebih baik daripada mencapai keputusan ini.
"Ia menjadi satu perkara yang menarik untuk menjuarai Piala FA. Namun begitu, kami mahu lebih daripada itu. Itulah perkara yang sangat diperlukan oleh kelab ini pada masa ini.
"Pemain akan bergembira pada musim cuti ini dan kembali untuk menghadapi pramusim dengan keazaman tinggi. Apa yang pastinya, kelab ini memandang ke hadapan untuk memperoleh kejayaan hebat bersama pengurus, Carlo Ancelotti.''
Harapan Terry kepada Ancelotti
Kapten Chelsea, John Terry mengakui tugasan pertama Carlo Ancelotti di Stamford Bridge adalah memastikan skuad The Blues muncul selaku pencabar serius gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ancelotti menandatangani kontrak tiga tahun dengan nilai RM32.5 juta (£6.5 juta) setahun, kelmarin, bagi menggantikan Guus Hiddink sebagai pengurus kelab barat London itu.
Pengurus dari Itali itu menjadi sasaran pemilik Chelsea, Roman Abramovich berikutan salasilah kecemerlangannya dalam Liga Juara-Juara.
Ancelotti mara ke final tiga kali bersama AC Milan, dengan dua kali menjulang gelaran juara dan turut memenangi kejuaraan itu selaku pemain Milan.
Bagaimanapun, Terry, pemain pertahanan England, lebih bimbang dengan prestasi liga dipamerkan Chelsea selepas skuadnya menamatkan saingan di luar kedudukan dua pasukan teratas untuk kali pertama sejak kelab itu dibeli oleh Abramovich pada 2003.
Selepas Guus Hiddink meninggalkan Chelsea dengan meraikan kejayaan memenangi Piala FA, minggu lalu, Ancelotti akan mengambil alih skuad yang yakin mereka boleh menamatkan penguasaan tiga tahun berturut-turut Manchester United selaku juara EPL.
Terry, yakin Chelsea sepatutnya mencapai tahap melebihi daripada sekadar cuba mengejar gelaran, dengan harapan disandarkan kepada Ancelotti sebagai orang yang dapat membawa pulang semula piala itu ke Bridge.
Dalam satu surat terbuka kepada peminat Chelsea, Terry menulis: “Dia (Hiddink) hadir pada waktu sukar ketika cabaran diberikan seperti mulai kelihatan longgar, kemudian membawa kami ke final Piala FA dan begitu hampir mara ke final Liga Juara-Juara, jadi ia menjadi satu pencapaian hebat.
“Keadaan itu menunjukkan, kedudukan tempat ketiga dalam liga tidak lagi cukup bagus bagi Chelsea. Ia penyudah paling buruk kami sejak Abramovich membeli kelab itu dan kami semua tahu perlu melakukan lebih baik.
“Ia sesuatu yang hebat menjuarai Piala FA tetapi kami lebih daripada itu dan itulah cara diperlukan oleh kami dalam keadaan sekarang.
“Kami semua akan menikmati saat kami dapat berehat sekarang dan kembali semula pada pramusim dengan penuh semangat seperti sebelum ini dan sudah tentu memandang ke depan untuk mencapai perkara hebat dengan pengurus baru, Carlo Ancelotti.”
Kaka masih setia bersama Milan
Bintang bola sepak Brazil, Kaka mengulangi pendiriannya untuk kekal bersama AC Milan dan merayu semua pihak agar menamatkan spekulasi mengenai masa depannya dengan Chelsea.
Kaka mengulangi pendirian tegasnya tidak akan meninggalkan AC Milan sekalipun spekulasi bertiup kencang mengaitkannya dengan Real Madrid dan Chelsea.
"Saya mahu memberitahu kepada jutaan peminat AC Milan bahawa saya sudah pun membuat pilihan saya.
"Sudah banyak kali menyatakan bahawa saya mahu kekal di sini (Milan), jadi sekarang tolong biarkan saya sendirian.
"Tolong tulis apa yang saya kata ini, saya mahu kekal bersama AC Milan dan bermula dari hari ini, isu sudah berakhir,'' kata Kaka kepada akhbar La Gazzetta dello Sport, semalam.
Media Sepanyol, kelmarin melaporkan bahawa perancang utama Brazil itu menjadi sasaran baru juara Eropah sembilan kali, Real Madrid.
Sementara media England pula heboh memperkatakan mengenai masa depan bekas Pemain Terbaik Dunia itu yang dikatakan mahu mengikuti jejak bekas jurulatih AC Milan, Carlo Ancelotti berhijrah ke Chelsea.
"Saya akan berkata buat kali terakhir, ini yang terakhir. Saya tidak mahu meninggalkan Milan,'' tegas Kaka lagi.




















