90 peratus pemain Pahang kekal untuk Liga Super 2014
Pahang hampir memuktamadkan barisan pemain mereka yang akan beraksi pada musim akan datang, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman.
Tengku Muda Pahang itu berkata, setakat hari
Selasa lepas, kira-kira 90 peratus pemain tempatan pasukan itu kekal
termasuk Amirulhadi Zainal yang dikatakan bakal meninggalkan skuad Tok
Gajah untuk beraksi bersama pasukan lain.
"Saya banyak mendengar ura-ura pemain Pahang dikaitkan akan ke pasukan lain tetapi apa yang boleh saya katakan, mereka telah menandantangi kontrak bersama Pahang dan tiada perubahan besar dalam pasukan ini.
"Saya tahu peminat teruja ingin tahu siapa bakal jurulatih dan pemain import namun salah seorang pemain import musim ini sudah pasti bersama Pahang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan malam bersama pasukan Pahang dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob di Kuantan, Rabu.
Tengku Abdul Rahman berkata pemain import yang dimaksudkan itu, Damion Delano Stewart sudah mengesahkan dirinya akan kekal bersama Tok Gajah bagi musim depan.
Dalam pada itu Tengku Abdul Rahman berkata satu ganjaran tambahan daripada PBNP akan diberi kepada pasukan itu setelah kerajaan negeri mengumumkan ganjaran sebanyak RM30,000 kepada setiap pemain dan jurulatih yang terlibat dalam membantu Pahang merangkul Piala Malaysia 2013.
"Berikutan ganjaran yang diberikan itu, persatuan juga akan menambahkan ganjaran untuk pemain dan pegawai.
"Selepas sekian lama menunggu kira-kira 21 tahun, persatuan berasa bersyukur dengan kejayaan ini dan berharap ganjaran ini dapat menaikkan lagi semangat pemain untuk beraksi lebih cemerlang pada musim depan," katanya.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola