Skuad Harimau Muda A akan menghadiri sesi motivasi selama empat hari bermula Rabu depan di Johor Baharu, Johor sebelum ke Myanmar untuk misi mempertahan pingat emas acara bola sepak Sukan SEA.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata sepanjang berada di sana, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal menjalani sesi kaunseling bersama pakar motivasi selain mengadakan perlawanan persahabatan.
“Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PNBJ) bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Harimau Muda A namun saya tidak pasti sama ada pasukan Johor Darul Takzim atau Johor Darul Takzim II yang akan dihadapi mereka pada 29 November ini.

“Kita bersetuju menghantar skuad berkenaan untuk sesi motivasi berkenaan selepas mengadakan perbincangan bersama Kim Swee,” katanya.

Hamidin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media pengumuman Kejohanan Bola Sepak Juara Sekolah 100PLUS Super Cup bawah 17 tahun peringkat kebangsaan 2013 di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Picture
Hamidin berkata pasukan muda negara itu juga bakal diuji oleh kelab divisyen tiga Jepun, FC Ryukyu pada aksi persahabatan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 4 Disember ini sebelum bertolak ke Myanmar, tiga hari kemudian.

Dalam pada itu, Hamidin menegaskan FAM sentiasa bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memantau kecederaan yang kerap melanda pemain skuad Harimau Muda A.

“Kita sentiasa mengadakan perbincangan bersama (Ketua Pegawai Eksekutif) ISN, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz mengenai perkara ini.

“Bagi saya, kecederaan yang melanda pemain skuad berkenaan adalah di luar jangkaan dan saya difahamkan beberapa pegawai ISN akan berada di Myanmar nanti bukan sahaja untuk memantau pasukan bola sepak kita tetapi juga sukan lain,” katanya.


Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola