AirAsia dengan kerjasama kelab bola sepak Inggeris, QPR melancarkan Klinik Latihan QPR 2013 yang pertama di Malaysia bertempat di Sekolah Menengah Seksyen 11 Shah Alam semalam.

“KAMI mencari bakat-bakat baharu pemain bola sepak tanah air”. Itu kata Pengerusi AirAsia Bhd, Datuk Kamarudin Meranun yang juga pemilik bersama pasukan Queens Park Rangers (QPR) yang berhasrat mencungkil bakat-bakat muda bola sepak.
Picture
“Bagi saya, tidak mustahil bagi rakyat Malaysia mengecapi kejayaan di peringkat antarabangsa.

“QPR mempunyai pemain Asia yang bermain secara profesional dalam liga, seperti Park Ji-Sung  dan Yuk Suk-Young, bukti yang jelas bahawa pemain Asia mempunyai kebolehan tinggi,” katanya.

Sesi klinik latihan tersebut diselia oleh para jurulatih program komuniti kelab bola sepak tersebut, ‘QPR in the Community Trust’, yang berkongsi pengalaman bersama 50 pemain di bawah umur 16 tahun sekitar Lembah Klang.

Picture

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif QPR in the Community Trust, Andy Evans. Beliau berkata, program itu  mampu merealisasikan impian pemain muda menempa nama di peringkat lebih tinggi.

“Saya lihat kebanyakan pemain cilik di seluruh dunia tidak dapat menonjolkan diri walaupun mempunyai bakat dan kemahiran bola sepak yang tinggi.

“Jadi saya rasa program seumpama ini mampu membantu mereka mencipta nama,” katanya.

Picture

Selain berkongsi pengalaman dengan bakat tempatan, siri klinik kejurulatihan ini juga akan memilih calon terbaik untuk meluangkan masa bersama kelab QPR.

Pada akhir sesi, jurulatih akan memilih seorang pemain terbaik keseluruhan yang akan dibawa ke Loftus Road, London untuk berjumpa pasukan utama QPR dan meluangkan masa sehari di akademi kelab tersebut.

Program ini juga akan diadakan di Sarawak pada minggu hadapan.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola