Serius? Gaji Jordan Henderson di Arab Saudi Hampir Dua Kali ganda Gaji Kevin De Bruyne
LONDON: Jordan Henderson muncul pemain Inggeris dengan gaji termahal sepanjang zaman selepas memuktamadkan perpindahan berprofil tinggi ke Al-Ettifaq.
Bekas kapten Liverpool itu mengesahkan dia meninggalkan Liverpool selepas 12 tahun di Anfield dan perpindahan itu akhirnya disahkan malam tadi.
Dia akan menyertai bekas kapten Steven Gerrard yang kini mengendalikan kelab Liga Pro Saudi itu.
Sebelum pengesahan itu, dia terlebih dahulu turun berlatih dengan rakan sepasukan baharunya.
Henderson berlepas ke Croatia untuk memuktamadkan perpindahan itu dan kini menandatangani kontrak yang menyaksikannya menerima gaji lumayan £700,000 (RM4.07 juta) seminggu dengan Liverpool turut menerima £12 juta (RM69.8 juta) ketika dia masih berbaki dua tahun dalam kontraknya.
Sehubungan itu, pemain kebangsaan England itu akan menerima gaji lumayan £36 juta (RM209.5 juta) setahun dan lebih £100 juta (RM582 juta) jika dia memenuhi semua tiga tahun kontraknya.
Tidak mengejutkan, Henderson melonjak ke tangga teratas senarai pemain England dengan bayaran gaji tertinggi.
Dia kini mengungguli carta itu dengan perbezaan lebih £325,000 (RM1.89 juta) seminggu berbanding pencabar terdekatnya dan jauh daripada apa yang diterima Jude Bellingham di Real Madrid.
Di belakang Henderson adalah Marcus Rashford, yang mana perjanjian baharu menyaksikannya menerima gaji £375,000 (RM2.18 juta) seminggu di Old Trafford, ganjaran diterimanya selepas kempen cemerlang pada 2022-23 yang mana dia menyumbat 30 gol serta 11 umpanan gol dalam semua pertandingan.
Di tangga ketiga rakan sepasukan Rashford, Jadon Sancho dengan gaji £350,000 (RM2.03 juta) seminggu, diikuti Raheem Sterling dengan £325,000 (RM1.89 juta) seminggu dan bintang Manchester City, Jack Grealish, yang menandatangani kontrak £300,000 (RM1.74 juta) seminggu ketika tiba di Etihad pada tahun 2021.
Mason Mount, Declan Rice, John Stones, Reece James dan Phil Foden semuanya menerima £250,000 (RM1.45 juta) seminggu sekali gus berkongsi tangga keenam dalam senarai.
Di belakang mereka pula Bellingham dengan kontrak £220,000 (RM1.28 juta) seminggu di Bernabeu dan yang ke-12 dalam senarai kapten England, Harry Kane, yang membawa pulang £200,000 (RM1.16 juta) seminggu di Tottenham.
Henderson juga menjadi pemain keempat dalam sejarah Liverpool dijual ketika masih memakai lilitan ketua pasukan.Graeme Souness kemudian dijual kepada Sampdoria pada 1984 menerusi perjanjian bernilai 650,000 pound.
Dia ketika itu berusia 32 tahun dan sudah memakai lilitan kapten selama tiga tahun setengah.
Paul Ince ketua pasukan terakhir Liverpool yang dijual ketika masih aktif pada 1999.
Bekas pemain United itu memberitahu, dia tiada masa depan di Anfield dan dijual kepada Middlesbrough dengan harga 1 juta pound di usia 31 tahun. – AGENSI
PEMAIN INGGERIS DENGAN GAJI TERTINGGI
Jordan Henderson (Al-Ettifaq) RM4.07 juta
Marcus Rashford (Manchester Utd) RM2.18 juta
Jadon Sancho (Manchester Utd) RM2.03 juta
Raheem Sterling (Chelsea) RM1.89 juta
Jack Grealish (Manchester City) RM1.74 juta
Mason Mount (Manchester Utd) RM1.45 juta
Declan Rice (Arsenal) RM1.45 juta
John Stones (Manchester City) RM1.45 juta
Reece James (Chelsea) RM1.45 juta
Phil Foden (Manchester City) RM1.45 juta
Jude Bellingham (Real Madrid) RM1.28 juta
Harry Kane (Tottenham Hotspur) RM1.16 juta
– AGENSISOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola