Kes pengkhianatan tidak hanya terjadi di dunia politik dan sosial sahaja, namun juga banyak berlaku dalam arena bola sepak.
J
ika ada anugerah dengan pencalonan pengkhianat terbaik, Luis Figo mungkin dengan mudah memenanginya.
Perpindahan pemilik nama penuh LuÃs Filipe Madeira Caeiro Figo ini dari Barcelona ke Real Madrid adalah salah satu drama terbesar di dunia bola sepak. Bahkan, drama 'sailang' Malcom oleh Barcelona dari AS Roma tiada apa-apa dibandingkan kisah cinta segitiga Figo dengan Barcelona dan Real Madrid.
Figo memulai segalanya bersama Sporting Lisbon yang merupakan salah satu kelab paling berjaya di Portugal. Pada usia 18 tahun, beliau menjalani debut profesional pertamanya dan turut dipanggil mewakili Portugal pada tahun 1991. Bersama Rui Costa, Figo membawa Portugal menjadi juara Piala Dunia U-20 dan mendapat julukan Golden Generation.
Pada 1995, Figo berpindah ke Sepanyol setelah mencapai kesepakatan dengan Barcelona. Perjalanan kariernya mula diselimuti dengan kontroversi. Dua kelab Itali, Parma dan Juventus dikatakan menggunakan 'jalan belakang' mendekati Figo lantas mendapatkan perjanjian pra-kontrak. Atas dasar itulah, menurut laman Thesefootballtimes, Juventus dan Parma memiliki embargo transfer.
Namun, kes tersebut tidak menghalang Figo untuk bermain di Nou Camp. Dengan yuran yang hanya 2.2 juta euro, beliau menyarung jersi Blaugrana setahun setelah Michael Laudrup pergi. Figo kemudian dipinjamkan kembali ke Sporting lantaran ada peraturan yang melarang pemain Portugal untuk berpindah ke kelab luar dalam tempoh masa tertentu.
Setelah itu, Figo terus beraksi cemerlang di Barcelona lantas membuatkan banyak kelab mengintainya. Pemain berposisi sayap kanan (kadang ditempatkan di kiri) ini memberikan pelbagai gelaran kepada Barcelona. Dua trofi La Liga, dua Copa del Rey ditambah masing-masing satu Supercopa de Espana, UEFA Cup Winners' Cup dan UEFA Super Cup berjaya beliau dapatkan saat berseragam Merah-Biru Barcelona.
Figo bahkan begitu dipuja para penyokong Barcelona hasil penampilan dan kepemimpinannya di padang. Beliau sesekali mengenakan lilitan kapten di lengan menggantikan Josep Guardiola dan Miguel Nadal. Lilitan kapten tersebut membuktikan pentingnya peranan pemain kelahiran Almada, Portugal tersebut.
Namun segala kisah manis Figo di Barcelona runtuh. Semuanya terjadi apabila Josep Lluis Nunez melepaskan jawatannya sebagai Presiden Barcelona. Situasi ini semakin menjadi mimpi buruk kerana dalam waktu yang sama Real Madrid juga sedang mencari pemimpin baru.
Florentino Perez, salah satu calon ketika itu menghamburkan sejuta janji. Salah satu janji manis yang ditawarkan Perez adalah jika dirinya terpilih, maka beliau akan membawa Figo dari Nou Camp ke Santiago Bernabeu. Janji yang diutarakan Perez mampu membuatkan para Madridista terpikat. Perez begitu yakin beliau mampu membawa anak emas Barcelona ke Madrid. Dikhabarkan, ada perjanjian pra-kontrak antara Perez dengan Figo (melalui agen).
Perjanjian tersebut mengatakan, jika Perez berjaya menduduki kerusi Presiden Madrid, Figo wajib berpindah ke ibu kota Sepanyol tersebut. Namun, sekiranya kalah dalam proses pemilihan, Figo dan agennya bakal mendapat wang tunai sebanyak 1 juta euro.
Akhirnya Perez rasmi dilantik sebagai presiden Real Madrid. Figo tidak mampu menolak untuk pergi dari Barcelona. Kerana ada sebuah klausa tambahan yang tertulis, jika Figo menolak untuk pindah ke Real Madrid ketika Perez menjadi presiden, maka beliau yang harus membayar pampasan sebanyak 30 juta euro.
Dalam situasi tersepit itulah Figo memutuskan untuk melapor ke Presiden Barcelona yang baru, Joan Gaspart. Beliau meminta agar Barcelona membayar pampasan yang jumlahnya cukup besar pada ketika itu. Gaspart enggan dan proses perpindahan itu pun terjadi. Real Madrid berjaya mendapatkan Figo dengan yuran perpindahan sebanyak 62 juta euro. Jumlah yang sangat besar sekaligus memecahkan rekod transfer saat itu. Bersama dengan Ronaldo Luis Nazario de Lima dan deretan para bintang lain, Figo menjadi sebahagian daripada Los Galacticos edisi pertama.
Perpindahannya ke Real Madrid mencetuskan polemik. Kelompok penyokong Barcelona yang digelar Els Boixos Nois begitu membenci dan menyerang Figo. Pada pertembungan El Clasico perdana setelah beliau berpindah, mereka melakukan ancaman dan melakukan aksi pelemparan ke dalam stadium. Menurut The Telegraph, aksi kerusuhan tersebut telah membuatkan Barcelona didenda sebanyak 6,000 pound sterling.
Kemuncaknya terjadi dalam El Clasico musim 2002/03. Saat itu, Real Madrid harus bertandang ke gelanggang keramat Barcelona. Namun, bukan aksi permainan kelas dunia yang diingati, melainkan pelbagai keriuhan yang puncaknya adalah lemparan kepala babi.
Dalam perlawanan yang berakhir seri tanpa jaringan itu, Luis Figo menjadi pemain yang menarik perhatian. Bukan kerana skill olah bolanya, tetapi deretan kata cacian dan sumpah serapah yang ditujukan kepadanya. Ketika Real Madrid mendapat tendangan sudut dan Figo yang mengambilnya, botol minuman dan pemetik api pun dilemparkan oleh penyokong Barcelona. Yang paling mengejutkan adalah kepala babi yang berlumuran darah datang dari tribun tempat kelompok Els Boixos Nois berada. Gila !
Insiden tersebut memaksa pengadil Luis Medina Cantalejo untuk menghentikan perlawanan sementara. Para pemain diminta untuk kembali ke bilik persalinan lantaran situasi yang semakin tidak terkawal dan membahayakan. Carlos Puyol dan para pemain lain berusaha untuk menenangkan penyokong Barcelona yang dirasuk emosi namun usaha itu sia-sia.
Perlawanan itu terhenti selama lebih kurang 13 minit dan menjadi salah satu yang terburuk dalam sejarah El Clasico. Media-media di Sepanyol memberikan judul aksi tersebut dengan El Partido de La Verguenza atau perlawanan yang memalukan.
Selepas kontraknya tamat, Figo berhijrah ke Itali secara percuma dengan menyertai Inter Milan. Beliau memenangi empat kejuaraan Serie A, dua Supercoppa Italiana dan satu trofi Coppa Italia sebelum bersara pada Mei 2009 di usia 37 tahun.
Segala prestasi hebat yang Luis Figo pamerkan sepanjang karier tidak akan pernah dilupakan. Seperti juga insiden kepala babi yang pastinya tidak akan pernah padam dalam benak ingatan.