MIKE MULVEY PENGARAH TEKNIKAL BARU SABAH RHINOS
SABAH Rhinos mengumumkan, bekas Ketua Jurulatih Brisbane Roar (Liga Australia), Mike Mulvey sebagai Pengarah Teknikal pasukan yang baru, berkuatkuasa serta merta.
Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Rhinos, Datuk Seri Panglima TC Goh selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Panglima Musa Aman.
Turut hadir pada kunjungan hormat itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiusaha Agung SAFA, Alijus Sipil dan Penolong Pengurus Sabah Rhinos, Rahman Zakaria.
Pada pertemuan itu, Musa turut menyatakan keyakinannya kepada Goh dalam menguruskan pasukan utama negeri termasuk keputusan melantik Mike, 52, sebagai Pengarah Teknikal.
“Justin Ganai akan meneruskan tugas beliau sebagai Ketua Jurulatih manakala Mike akan membantu pasukan dalam semua aspek yang berkaitan dengan teknikal.
“Perlantikan Mike sebagai Pengarah Teknikal adalah sebahagian daripada usaha untuk memantapkan lagi pasukan dan dia juga dijangka akan turut bersama pasukan bagi menghadapi perlawanan menentang UiTM FC di Shah Alam, Jumaat ini,” katanya.
Mike yang berasal dari Manchester memiliki pengalaman selama 25 tahun sebagai jurulatih dan beliau berjaya menjulang Brisbane Roar sebagai juara Liga Australia, tahun lalu..
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola