Robin van Persie mengakui tidak tahu sama ada dia akan ditawarkan kontrak yang baharu apabila tempoh kontraknya bersama Manchester United, berakhir.
Penyerang kelahiran Belanda itu menjaringkan 30 gol ketika memenangi gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim pertamanya di Old Trafford namun prestasinya musim lepas merudum selepas bergelut dengan masalah kecergasan.Malah, bekas penyerang Arsenal itu hanya mampu meledak lapan kali dalam kempen musim ini yang dikhuatiri mampu berakhir dengan kekecewaan sekali lagi.
Kontrak pemain berusia 31 tahun itu tamat pada 2016 dan ketika ditanya sama ada mahu kekal bersama United, penyerang tinggi lampai itu berkata: "Ia tidak bergantung kepada saya.
"Ketika ini, saya kekal di sini untuk tempoh 18 bulan.
"Itu adalah realitinya. Saya tidak dapat menduga masa depan. Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu. Kita perlu tunggu dan lihat."
United diikat tanpa jaringan pada perlawanan pusingan empat Piala FA menentang kelab divisyen empat, Cambridge minggu lepas dan di Liga Perdana, jumlah mata yang dimiliki kelab itu hanya lebih tiga mata berbanding dicapai pengurus sebelum ini, David Moyes.
"Jelas kami tidak menjaringkan gol yang cukup, termasuk saya," kata van Persie.
"Semua orang rasa bertanggungjawab. Saya rasainya, sudah tentu. Musim ini saya bermain dalam 20 perlawanan dan saya hanya menjaringkan lapan gol. Saya tidak gembira dengannya. Saya mahu menjaringkan lebio banyak gol," katanya. - AFP