PRETASI MENINGKAT SELEPAS MENENTANG SIME DARBY FC, PERLU KERJA LEBIH KERAS : DIOUF

Kickbola.net INDIKASI PRETASI MENINGKAT, PERLU KERJA LEBIH KERAS : DIOUF. FOTO Mino Ersyah Arshad
PRETASI MENINGKAT, PERLU KERJA LEBIH KERAS : DIOUF

EL HADJI DIOUF menyifatkan Sabah Rhinos bermain lebih baik sewaktu menentang KL Sime Darby FC, malam Isnin lalu, berbanding pertemuan pertama dengan pasukan Liga Super itu sebelum ini.

Bekas penyerang Liverpool itu bagaimanapun menegaskan semua pemain termasuk dia sendiri perlu bekerja lebih keras bagi memastikan Sabah Rhinos benar-benar bersedia untuk menjadi pencabar utama saingan Liga Malaysia, musim ini.

“Saya fikir kita lakukannya dengan baik, semua orang perlu ingat kita bermain dengan salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Super.

“Kita berjaya bermain dengan baik pada separuh masa pertama dan ianya bertambah baik babak kedua…saya fikir kita perlu meneruskan perjuangan dan bermain dengan lebih baik pada perlawanan seterusnya.

“Seperti yang selalu saya katakan kepada rakan sepasukan, kita harus mencapai peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada perlawanan atau latihan yang dilalui sebelum ini,” katanya.

Pada perlawanan menentang KL Sime Darby, Isnin lalu, Diouf menjaringkan gol pendahuluan Sabah Rhinos pada minit ke-59 selepas menyempurnakan hantaran lintang cantik Eamon Zayed.

Bagaimanapun, pasukan pelawat sekali lagi mengecewakan tuan rumah menerusi jaringan Khairul Anuar Shahrudin pada minit ke-79.


Keputusan seri 1-1 itu sama seperti pertemuan persahabatan pertama kedua pasukan di Stadium Likas, Sabtu lalu.

Sementara itu, Diouf yakin Sabah Rhinos mampu pergi lebih jauh dengan bantuan penyokong dan berharap Stadium Likas akan sentiasa ‘bergema’ setiap kali pasukan berkenaan beraksi di gelanggang sendiri.

“Kita perlukan peminat untuk menyokong kita, kadang kala kita akan mengharungi detik sukar dan penyokonglah yang memainkan peranan untuk membakar semangat kami,” katanya yang turut berharap Sabah Rhinos mampu menghabiskan musim ini dengan tanpa kalah.

Sabah akan meneruskan perlawanan persahabatan sempena pra musim ini bertemu juara lima kali Liga Singapura, Tampines Rovers FC di Stadium Likas, Jumaat depan.

Perlawanan itu dijangka menjadi aksi persahabatan terakhir Sabah Rhinos sebelum memulakan kempen Liga Perdana 2015 bertemu Kuala Lumpur pada 6 Februari depan..

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.