Perlawanan Persahabatan Sabah FA vs Sime Darby FC - 24 Januari 2015

Kickbola.net Ketua Jurulatih, Justin Ganai memberi sedikit taklimat kepada para pemain sebelum sesi latihan bermula di Padang Kampus INTAN, petang ini (22 Januari 2015)
SIAP SEDIA LAYAN SIME DARBY

SABAH Rhinos bersedia untuk menurunkan kesebelasan terbaiknya pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Super, Sime Darby FC di Stadium Likas, petang ini.

Walaupun persiapan pasukan sedikit terjejas berikutan keadaan cuaca tidak menentu selain kecederaan dialami beberapa pemain, Ketua Jurulatih, Justin Ganai yakin anak buahnya akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan itu.

“Kita menghadapi pelbagai rintangan dalam persiapan kita (menentang Sime Darby FC), namun saya yakin para pemain yang akan diturunkan akan berusaha bersungguh-sungguh demi penyokong kita.


“Perlawanan ini penting buat pasukan bagi mengukur sejauh mana perkembangan kita, walaupun tumpuan sebenar adalah saingan Liga Perdana yang akan bermula Februari depan, namun, inilah peluang pemain untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka di atas padang,” katanya.

Justin yang baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-59, Rabu lalu, dijangka menurunkan dua tonggak import Abdoulaye Faye dan Eamon Zayed sebagai kesebelasan utama.

Selain itu, bekas penyerang Liverpool, El Hadji Diouf juga dijangka beraksi walaupun sebelum ini dia dilaporkan mengalami kecederaan.

Diouf mula menyertai latihan sejak seminggu lalu selepas dinasihatkan untuk berehat, namun, prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan bekas pemain terbaik Afrika itu memungkinkan beliau akan beraksi.

Selain itu, bekas pemain Harimau Muda, Rozaimi Abdul Rahman juga kembali cergas dan akan bermain sebagai kesebelasan utama.

Justin dijangka meletakkan Irwan Jamil selaku penjaga gol utama pada perlawanan itu dengan dibantu barisan pertahanan yang dikemudi oleh Faye, Hardy Charles Parsi, Alto Linus dan Julamri Muhammad.

Sementara itu, Diouf, Azzizan Nordin, Leopold Alfonso Otong, Izuan Salahuddin, Maxsius Musa dan Ezaidy Khadar antara pilihan untuk menggerakkan bahagian tengah manakala Zayed dan Rozaimi dijangka bertindak sebagai penyerang.

Pemain-pemain lain seperti, Mohd Fazli Paat (penjaga gol), Khairi Kiman, Thaufiq Abdul Haq, Yoganathan Munusamy, Jenius Karib, Shafuan Adli dan Didie Arizal dijangka akan bersiap sedia di bangku simpanan.

Bagaimanapun, Zuraindey Jumai, Rosdin Wasli, R Surendren, dan Mohd Badrul Afendy Mohd Fadzli mungkin terpaksa direhatkan akibat kecederaan manakala penyerang, Shafiq Jamal juga terlepas aksi petang ini kerana kembali ke negeri asal di Kedah atas urusan keluarga.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.