David 'Rocky' Rocastle dalam kenangan
19 tahun lalu, dunia bola sepak Inggeris dikejutkan dengan pemergian pemain tengah berbakat iaitu David Rocastle disebabkan penyakit non-Hodgkin's lymphoma yang menyerang sistem imunisasinya.Pergi pada usia 33 tahun, karier bola sepak Rocastle bermula selepas menyertai Akademi Arsenal pada bulan Mei 1982 sebelum ditawarkan kontrak profesional oleh pengurus The Gunners ketika itu, Don Howe, dua tahun kemudiannya.
Beliau melakukan debut untuk Arsenal semasa menentang Newcastle United pada musim 1984/85 dan kekal menjadi pemain utama pasukan selepas itu.
Rocky berjaya memperoleh kejuaraan pertama dalam kariernya pada usia 20 tahun apabila membantu Arsenal menewaskan Liverpool dalam perlawanan akhir Piala Liga musim 1986/1987.
Beliau turut dinamakan dalam PFA Team of The Year 1987 atas prestasi cemerlangnya musim itu.
Kehebatan Rocastle sememangnya tidak dapat disangkal terutamanya dalam musim 1988/1989 yang menyaksikan Arsenal merangkul kejuaraan liga.
Lebih manis, Rocky bermain dalam kesemua perlawanan liga ketika itu dengan takhta liga ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Liverpool di Anfield.
Perlawanan klasik yang pastinya diingati oleh kebanyakan peminat setia Gunners apabila Michael Thomas menjaringkan gol penting beberapa detik sebelum perlawanan tamat bagi memastikan Arsenal mengecapi kejuaraan liga.
Selepas itu, Rocastle turut berjaya memperoleh kejuaraan liga sekali lagi bersama Arsenal pada musim 1990/1991 sebelum dijual ke Leeds United pada tahun 1992.
Beliau kemudiannya pernah menyarung jersi Manchester City dan Chelsea.
Bagi peminat bola sepak tempatan, anda juga pasti mengingati Rocastle kerana selepas dilepaskan Chelsea, Rocky pernah berkelana ke Sabah pada tahun 1998.
Kehadiran Rocastle di Negeri di Bawah Bayu sememangnya mendapat reaksi positif peminat skuad Badak apatah lagi beliau berjaya membantu Sabah mara ke perlawanan akhir Piala FA namun tewas kepada Johor.
Rocky kemudian bersara pada tahun 1999 disebabkan kecederaan yang membelenggu kariernya.
Selepas pemergiannya pada tahun 2001, Arsenal telah menubuhkan 'The David Rocastle Trust' bagi membantu keluarga Rocky di samping melakukan kerja-kerja kebajikan.
Kehebatan dan kelincahan Rocky masih diingati sehingga kini.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola