Sekitar Perlawanan Persahabatan Sabah FA menentang Malaysia B-23

Kickbola.net Harimau Muda atasi Sabah 3-0 di Likas PEMAIN Harimau Muda, Gary Steven Robert (tengah) diasak pertahanan Sabah pada perlawanan persahabatan di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini. - Foto Lano La.
Sekitar Perlawanan Persahabatan Sabah FA menentang Malaysia B-23 | PELUANG PEMAIN TEMPATAN | Pic By Azahari Bugay Reyes @ Jason aka horukuru

LIKAS: Skuad Bawah 23 (B-23) negara meraih kemenangan kedua pada aksi persahabatan selepas menewaskan Sabah 3-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini. Pemain Perak, Muhammad Nurridzuan Abu Hassan Saari meletakkan skuad B-23 negara di hadapan seawal minit pertama setelah memanfaatkan kesilapan pertahanan Sabah. 

Skuad muda negara menjaringkan gol kedua pada minit ke-55 menerusi Mohammad Faizat Ghazali yang menampan masuk bola hasil hantaran Muhammad Nurridzuan, demikian menurut laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Pemain gantian, Muhammad Farhan Roslan mengesahkan kemenangan selesa skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu menerusi sepakan penalti pada minit ke-83 setelah beliau dijatuhkan pemain Sabah, Alto Linus di dalam kotak penalti.

Skuad B-23 negara sebelum ini, mengalahkan pasukan Liga FAM, Real Mulia FC 4-1 pada aksi persahabatan pertama di padang Pusat Latihan Maybank, Bangi dekat sini, Isnin lepas.

Malaysia bakal berdepan skuad B-23 Indonesia pada aksi pemanas badan ketiga pada 21 Mei ini, namun mereka masih menunggu maklum balas daripada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) berhubung venue perlawanan.

Perlawanan persahabatan berkenaan adalah persiapan Kim Swee bagi menghadapi Sukan SEA 2015 di Singapura, dengan bola sepak menjadi acara pertama yang membuka tirai temasya itu, penghujung bulan ini.

Malaysia berdepan laluan sukar dalam acara bola sepak pada temasya dwitahunan itu selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand selain Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste.

Skuad muda negara akan membuka kempen menentang Timor Leste pada 30 Mei; Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun.

Kesemua perlawanan Kumpulan B berlangsung di Stadium Bishan, manakala aksi Kumpulan A yang melibatkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja di Stadium Jalan Besar. - BERNAMAA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.