UPB-MyTeam tak bayar gaji

APALAH malang nasib skuad UPB-MyTeam. Mereka sudah bersungguh-sungguh menunjukkan sikap profesional setiap kali berada di atas padang tetapi kelab yang diwakili pula tidak menunjukkan ciri-ciri profesional khususnya dalam menjaga kebajikan.






Nuffnang Ads




SKUAD utama UPB-MyTeam FC yang beraksi pada kempen Liga M musim ini.

Kosmo! difahamkan, para pemain UPB-MyTeam kini menderita akibat tidak dibayar gaji selama dua bulan.

Tidak lagi mampu menahan derita, tiga pemain UPB-MyTeam terpaksa mendedahkan masalah dialami mereka itu kepada Kosmo! semalam.

"Pada mulanya kami ambil sikap bersabar, tunggu dan lihat. Tapi akhirnya kami tak boleh tahan lagi, terpaksa dedahkan juga kepada media supaya umum mengetahui nasib kami ini," kata salah seorang pemain UPB-MyTeam.

Menurut pemain yang enggan namanya disiarkan kerana bimbang dikenakan tindakan disiplin daripada kelab terbabit, bayaran gaji untuk tiga bulan pertama musim ini diterima tepat masanya sehinggalah pada bulan Mac lalu.

"Gaji Disember, Januari dan Februari kami terima penuh. Bulan Mac, kami hanya terima separuh gaji. Separuh lagi diterima pada awal Mei lalu.

"Ini bermakna sehingga ke hari ini, kami masih belum menerima apa-apa gaji untuk bulan April dan Mei. Dua bulan gaji tertunggak dan akan menjadi tiga bulan jika ia terus tidak dibayar sehingga hujung Jun ini," jelasnya.

Seorang lagi pemain UPB-MyTeam berkata, mereka telah bersikap profesional dengan bermain bersungguh-sungguh sepanjang perlawanan dari penghujung Mac sehingga penghujung Mei lalu.

"Sepanjang tempoh dua bulan tidak dibayar gaji ini, kami telah beraksi sembilan perlawanan dan menang empat kali, seri dua kali dan tewas tiga kali.

"Kalau kami tak profesional, dah lama kami sengaja biarkan pasukan tewas kesemua perlawanan itu. Bonus kemenangan pun kami tak dapat," katanya yang turut enggan didedahkan identitinya.

UPB-MyTeam kini berada di tangga ke-9 daripada 14 pasukan dalam saingan Liga Super.

Selepas 17 perlawanan, skuad berstatus kelab itu mengumpul 23 mata hasil tujuh menang, dua seri dan sembilan tewas.

Musim ini, kelab yang dibimbing Bojan Hodak dengan dibantu Khan Hung Meng serta Rashid Hassan itu hanya mendaftarkan 18 pemain; jumlah paling rendah di kalangan pasukan yang beraksi dalam Liga Super.

Difahamkan, tindakan itu dibuat sebagai satu langkah penjimatan.

Seorang lagi pemain mendakwa, penarikan diri beberapa penaja utama seperti AirAsia menyebabkan UPB-MyTeam tidak lagi mempunyai sumber kewangan yang kukuh seperti musim-musim sebelumnya.

"Pemain semakin merana. Hendak datang berlatih pun tiada duit. Kami juga manusia biasa, perlukan wang setiap bulan," jelas pemain tersebut.


Your Ad Here

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.