Trofi liga buruan Chelsea

Kapten Chelsea, John Terry menyatakan bahawa tugas pertama pengurus baru, Carlo Ancelotti adalah untuk memastikan The Blues menjadi pencabar utama bagi pemburuan trofi Liga Perdana England.







Nuffnang Ads




Ancelotti diburu pemilik Chelsea, Roman Abramovich kerana pencapaian hebatnya dalam saingan Liga Juara-Juara.

Untuk rekod, dia membimbing AC Milan mara ke final Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali dan memenangi dua daripadanya selain dua kali menjulang kejuaraan itu sebagai pemain.

Namun, Terry lebih mahukan kejayaan peringkat domestik setelah Chelsea gagal mengakhiri Liga Perdana England musim ini di kedudukan dua teratas buat pertama kali sejak Abramovich mengambil alih kelab itu pada 2003.

"(Pengurus sementara) Guus Hiddink telah datang ke kelab ini pada waktu yang begitu sukar.

"Jadi kejayaannya membawa kami muncul juara Piala FA dan separuh akhir Liga Juara-Juara adalah pencapaian yang cukup hebat.

"Kami akan berhenti meraikan kejayaan menjuarai Piala FA dan kembali untuk persiapan pra musim. Sudah tentu kami mengintai kejayaan lebih hebat bersama pengurus baru kami (Ancelotti)," kata Terry.

Biarpun Ancelotti mengecap kejayaan gemilang sepanjang lapan tahun bersama Milan, dia hanya sekali merasai nikmat memenangi trofi Serie A.

Ancelotti juga buat pertama kali akan mengurus sebuah pasukan di luar Itali tetapi dia menegaskan, ia bukanlah satu masalah memandangkan dia merupakan salah seorang peminat Liga Perdana England.

"Saya selalu menonton perlawanan Liga Perdana England di kaca televisyen.

"Saya minat liga ini kerana terdapat banyak pasukan hebat beraksi dengan permainan yang bagus. Ia sangat laju. Saya sukakan bola sepak England.

"Di Itali, perlawanannya lebih kepada taktikal di mana setiap pasukan memikirkan untuk bertahan dengan baik dan kemudian barulah menyerang.

"Saya ada menonton aksi Chelsea, Liverpool dan Manchester United. Chelsea memiliki pasukan yang hebat dan pemain yang bagus," kata Ancelotti.


Your Ad Here

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.