Manuel Pellegrini nakhoda baru


Presiden kelab Real Madrid, Florentino Perez telah memulakan langkah awal dalam misinya membentuk kembali era The Galacticos.


Sejurus dilantik secara rasmi sebagai presiden yang baru, Perez telah membawa masuk Manuel Pellegrini (gambar) sebagai jurulatih Real.

"Real Madrid dan Manuel Pellegrini telah mencapai persetujuan untuk membolehkan jurulatih dari Chile itu sebagai jurulatih baru skuad utama kelab ini," lapor satu kenyataan kelab Real semalam.

Pellegrini akan menggantikan tempat Juande Ramos yang hanya mengendali Real selama enam bulan selepas dia mengambil alih tugas Bernd Schuster pada pertengahan Disember lalu.

Pellegrini, 55, menyertai Villarreal pada 2004 dari River Plate dan masih mempunyai kontrak dengan kelab itu sehingga 2010.

"Kami akan menumpukan segala usaha kami untuk membina semula sebuah pasukan yang luar biasa dengan dibarisi pemain-pemain hebat untuk menjadi idola di dalam dan luar padang.

"Kami mahu menjadikan kelab ini sebuah kelab di mana etika tidak boleh diketepikan dan perpaduan menjadi asas kepada tingkah laku para pemainnya," kata Perez.

Untuk rekod, Perez menjadi Presiden Real dari 2000 hingga 2006 di mana sepanjang tempoh itu skuad Galacticos memenangi Liga Sepanyol sebanyak dua kali dan Liga Juara-Juara.


Ketika itu, Real dibarisi bintang-bintang seperti Zidane, Ronaldo, Luis Figo, David Beckham dan Michael Owen.

Dalam pada itu, legenda Perancis, Zinedine Zidane yang mencatat rekod perpindahan termahal dari Juventus ke Real pada 2000 kini dilantik sebagai penasihat kepada Perez.

Meskipun tidak menyatakan nama-nama besar yang bakal ditandatangani untuk beraksi dengan Real musim depan, media sudah membuat pelbagai spekulasi.

Antaranya ialah bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo, Xabi Alonso (Liverpool) dan Kaka (AC Milan).

"Kami perlu pulihkan kembali impian kami, kestabilan dan tempoh masa yang kami telah hilang. Jalan di hadapan ini pasti sukar.

"Tapi kami memiliki keghairahan dan idea yang diperlukan untuk menjadi pencabar utama pada waktu yang sukar ini," jelas Perez.

Pellegrini jurulatih baru Real Madrid
Real Madrid semalam mengesahkan Manuel Pellegrini bakal melatih gergasi bola sepak Sepanyol itu musim depan - pembelian pertama Florentino Perez sebaik menjadi presiden.

Real dalam laman webnya berkata, jurulatih dari Chile berusia 55 tahun itu meninggalkan Villarreal selepas lima musim membimbing kelab Sepanyol itu.

Perez akan memperkenalkan Pellegrini kepada media, namun setakat ini tiada sebarang butiran lanjut mengenai kontrak, termasuk tempoh perjanjian yang didedahkan.

Villarreal sebelum ini berkata, Real perlu melunaskan kontrak Pellegrini bernilai 4 juta euro (RM19.7 juta) jika mahu mendapatkan jurulatih itu.

Pellegrini akan menggantikan Juande Ramos, yang hanya mengambil alih skuad Real Madrid pada Disember lalu selepas Bernd Schuster dipecat.

Real menamatkan saingan musim ini di tempat kedua, di belakang Barcelona selepas menjuarai Liga Sepanyol dua musim berturut-turut - 2007 dan 2008.

Pellegrini berjaya merubah Villarreal menjadi pasukan yang digeruni semenjak dia menyertai kelab itu pada 2004 dari River Plate.

Jurulatih Chile itu gemar menggunakan corak menyerang dan kerap kali dibandingkan dengan jurulatih Arsenal, Arsene Wenger, malah dia juga berjaya membawa Villarreal ke saingan Liga Juara-Juara sebanyak dua kali dalam tempoh lima musim.

Pada 2006, dia membawa Villarreal melayakkan diri ke separuh akhir Liga Juara-Juara, namun pada musim ini, skuad bimbingannya itu sekadar menduduki tangga kelima La Liga.

Pelantikan Pellegrini sebagai jurulatih Real diumumkan hanya beberapa jam selepas Perez kembali memegang jawatan presiden Real Madrid buat kali kedua.

Perez menggantikan Vicente Boluda selepas tiada calon lain yang mencabarnya.

Perez pernah menjadi presiden Real dari 2000 hingga 2006 dan membentuk era yang dipanggil 'galactico' apabila menghimpunkan pemain bintang seperti Zinedine Zidane, David Beckham dan Ronaldo.

"Real Madrid tidak pernah hilang keyakinan dan mereka harus berada di tempat yang sepatutnya.

"Kami mahu mengembalikan Real Madrid di tempat yang selayaknya ia berada,'' kata Perez.

Zidane juga kembali ke pangkuan bekas pasukannya itu sebagai penasihat kepada Perez, manakala bekas jurulatih Real, Jorge Valdano pula dilantik sebagai ketua pengarah baru.

Miguel Pardeza dilantik sebagai pengarah sukan menggantikan Pedja Mijatovic, yang meletak jawatan, awal bulan ini.

Real, pemegang rekod juara Eropah sembilan kali tersingkir di pusingan pertama peringkat kali mati Liga Juara-Juara musim ini, iaitu kegagalan kelima berturut-turut buat gergasi Eropah itu.

Malah, mereka juga gagal mempertahankan kejuaraan domestik dan menutup musim tanpa sebarang trofi selepas turut gagal menjuarai Piala Raja Sepanyol.

"Kami perlu menukar aset bernilai yang ada di Madrid menjadi legenda.

"Kelab sering dikaitkan dengan sejarah bola sepak,'' kata Perez.

Bekas Pemain Terbaik Dunia dan bintang penyerang AC Milan, Kaka antara yang turut dikaitkan dengan perpindahan ke Real musim depan.

Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo pula telah menjadi sasaran Real sejak 2006 ketika Ramon Calderon memenangi jawatan presiden dan Perez meletakkan jawatan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.