Musim saingan 2008/09 akan terus meninggalkan kesan berpanjangan dalam ingatan peminat Barcelona selepas Pep Guardiola membawa kelab itu meraih gelaran unik muncul juara liga, Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-Juara pada penampilan sulung.
Barcelona melalui dua musim tanpa sebarang piala kejuaraan tetapi menyapu bersih semuanya untuk meraih tiga gelaran serentak penuh bersejarah tidak pernah dilakukan oleh mana-mana kelab Sepanyol, malah tidak pernah dilakukan oleh pasukan hebat Real Madrid.Dengan dibarisi wira Sepanyol menjuarai Euro 2008 seperti Xavi dan Andres Iniesta yang membantu jentera serangan trio Lionel Messi, Samuel Eto’o dan Thierry Henry, Barcelona memusnahkan lawan di tempat sendiri dan di gelanggang luar dengan gaya permainan bola sepak menyeronokkan, merujuk kepada ‘Skuad Impian’ pernah dikendalikan oleh Johan Cruyff.
Setiap skuad Barca sentiasa menjadi perbandingan dengan skuad hebat Cruyff, dengan Guardiola menjadi kapten, meraih empat gelaran liga antara 1991 dan 1994 termasuk juara Eropah 1992.
Bagaimanapun, Guardiola menulis sejarahnya sendiri dengan membawa Barcelona meraih tiga gelaran serentak meninggalkan Real Madrid dan Manchester United dengan kebangkitan mereka.
“Kami tunjukkan kami adalah yang terbaik,” kata Messi. “Saya juga gembira kerana setiap orang kelihatan seperti menikmati bola sepak, sama ada mereka peminat Barca atau tidak.
“Di serata dunia, saya ada mendengar mereka mengatakan mereka tertarik disebabkan oleh kami. Bola sepak jenis ini berhak mendapat ganjaran.
“Saya rasa sukar mengulangi sesuatu seperti ini, pencapaian meraih tiga gelaran.”
Real Madrid dijinakkan 6-2 oleh Barcelona di gelanggang mereka di Santiago Bernabeu dan keputusan itu melengkapkan musim buruk dilalui.
Dengan turun selaku juara bertahan berganda, Real meletak harapan tinggi tiga gelaran berturut-turut dan memberi kesan di Eropah tetapi berdasarkan perlawanan demi perlawanan, mereka masih terkontang-kanting menyaingi Barcelona.