MANCHESTER - Selepas perlawanan dibuka dengan insiden yang memalukan David Moyes, dua gol Wayne Rooney menyelamatkan air muka pengurus Manchester United itu apabila membantu pasukannya membenam Aston Villa 4-1 di Old Trafford, semalam.
Kemunculan sebuah pesawat ringan yang membawa sepanduk, WRONG ONE-MOYES OUT (Pilihan Yang Salah, Moyes Keluar) berlegar di ruang udara Old Trafford mencemari permulaan perlawanan, ditambah lagi dengan kejayaan Villa memperoleh gol awal menerusi sepakan percuma Ashley Westwood pada minit ke-13.Namun begitu, dua gol yang diledak oleh Rooney sebelum tamat babak pertama, selain jaringan Juan Mata dan Javier Hernandez pada separuh masa kedua kembali menceriakan Moyes.
Biarpun kemenangan itu masih tidak merubah kedudukan United yang kekal menghuni tangga ketujuh liga dengan 54 mata, sembilan mata di belakang pasukan tangga keempat, Arsenal, namun tiga mata yang diraih sekurang-kurangnya merawat kelukaan juara bertahan itu selepas tewas 0-3 kepada Manchester City di tempat sendiri, Selasa lalu.
Old Trafford sunyi seketika selepas sepakan lencong Westwood menerjah gawang United di awal permainan untuk meletakkan pelawat di depan.
Rooney bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-20 selepas menyudahkan hantaran Shinji Kagawa, sebelum melengkapkan kebangkitan tuan rumah dengan meledak penalti yang menerjah ke penjuru kanan pintu gol Villa selepas Mata dijatuhkan oleh Leandro Bacuna.
Juan Mata (kiri) meraikan jaringan ketiga Manchester United bersama Ashley Young dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa di Old Trafford, Manchester |
Jaringan Mata pada minit ke-57 membolehkan United terus bernafas dan pemain gantian, Hernandez memastikan tuan rumah menutup perlawanan dengan selesa apabila menambah gol keempat pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Adnan Januzaj. - AFP