Duarte diharap dapat atasi penyudah tumpul Sabah
Kota Kinabalu: Ketumpulan jentera serangan dihadapi Sabah FC berikutan pengunduran Ramon Machado pada Julai lalu mahu diatasi segera dengan kehadiran penyerang baharu dari Brazil, João Pedro Boiera Duarte.Itu perkara utama yang mahu diselesaikan ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee, dengan termeterainya kontrak sembilan bulan pemain berusia 24 tahun itu bersama skuad Sang Badak.
Beliau juga meletakkan harapan agar Duarte dapat memberikan sumbangan dan impak segera kepada pasukan untuk baki saingan Liga Super musim ini selepas ketiadaan Machado sejak kira-kira sebulan lalu.
Kim Swee bagaimanapun meminta peminat supaya tidak menyamakan kualiti permainan Machado dengan Duarte memandangkan kedua-duanya memiliki penampilan yang berbeza selaku penyerang.
"Isu penyudah tumpul yang sebelum ini menggagalkan usaha Sabah FC untuk mendapatkan keputusan yang bermakna dalam saingan Liga Super diharap selesai dengan kedatangan João Pedro," katanya mengulas kehadiran pemain berkenaan. Petang tadi, pengurusan Sabah FC mengumumkan kehadiran Duarte yang mengikat kontrak sebagai penyerang baharu Sabah FC berkuatkuasa 15 Ogos 2024 hingga 30 April 2025.
Kim Swee turut mengucapkan terima kasih kepada pengurusan Sabah FC, terutama Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya memberikan persetujuan untuk mencari pengganti Machado. "Ini termasuk juga kepada Pengurus Pasukan Sabah FC, Rafie Robert dan Pengurus Sabah FC II, Datuk Abdul Kassim Razali yang banyak membantu untuk mendapatkan khidmat pemain import baharu ini.
"Kita akan pastikan João Pedro dapat menyesuaikan diri dengan cara taktikal Sabah FC memandangkan tempoh liga berehat ketika ini hanya akan disambung semula pada 15 September depan," katanya.
SOURCE: Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola