Pan Gon dan anak buahnya akan menentang China dan Syria pada aksi persahabatan bulan depan.
Harimau Malaya jumpa Syria, China September ini
Skuad Harimau Malaya akan menimba pengalaman berharga menjelang kempen Piala Asia 2023 tahun depan apabila dijadual bertemu Syria dan China pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Chengdu, China bulan depan.
Selain saingan daripada pasukan di ranking 100 terbaik dunia menanti, skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan Gon juga akan berdepan cabaran berbeza apabila beraksi di luar negara buat kali pertama dalam tempoh tujuh bulan selepas meraih empat kemenangan berturut-turut di laman sendiri sebelum ini.
Legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir Ismail berkata beraksi di gelanggang lawan banyak perbezaan dan cabaran sekali gus dapat memperlihatkan tahap sebenar barisan pemain negara tatkala Piala Asia yang dijadual berlangsung di Qatar bermula Januari depan, semakin menghampiri.
"Tentu sekali (timba pengalaman berharga) sebab yang pertama kita bermain di tempat lawan bukan laman sendiri, ada banyak perbezaan antaranya cuaca dan tekanan daripada penyokong tuan rumah. Keduanya kita bermain dengan dua pasukan yang lebih tinggi (ranking).
"Tentu sekali ini akan menyerlahkan lagi kemampuan pemain-pemain sama ada mereka boleh hadapi lawan seperti ini. Sepatutnya ini dilakukan lebih awal kerana kita perlukan lebih banyak perlawanan kompetitif daripada bermain dengan pasukan ranking rendah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Malaysia yang menghuni ranking ke-136 dunia akan berdepan Syria (ke-94 dunia) pada 6 September sebelum membuat perhitungan menentang pasukan tuan rumah (ke-80 dunia) pada 9 September.
Sementara itu, Jamal Nasir yang menjadi anggota skuad kebangsaan pada Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Russia berkata pasukan negara perlu mencatat kemenangan bersih di China ataupun sekurang-kurangnya tampil dengan permainan yang baik dan tidak 'dibuli'.
"Kalau kemenangan tak berpihak kita sekalipun, pasukan negara kena tunjuk mereka mampu menyaingi kehebatan Syria dan China. Bagi saya untuk kedua-dua perlawanan ini Pan Gon perlu bariskan kesebelasan utama yang benar-benar nak dibawa ke Piala Asia," kata bekas pemain berusia 68 tahun itu.
Bekas pemain pertahanan Pahang itu berkata lebih banyak perhatian akan diberikan kepada pasukan negara sekiranya berjaya menumbangkan pasukan di kedudukan lebih baik sekali gus membuka peluang Malaysia menguji kekuatan dengan negara handalan selepas ini.
Malaysia meraih empat kemenangan berturut-turut selepas mengatasi Turkmenistan 1-0 dan Hong Kong 2-0 masing-masing di Johor pada Mac lepas, sebelum menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 masing-masing di Terengganu, Jun lepas.
Pada Piala Asia 2023, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain. - BERNAMA
SOURCE: Berita Harian
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola