
Sabah FC membawa nama Borneo ke saingan AFC Cup!

Pengarah Bola Sepak Sabah FC, Md Joh Wid berkata banyak aktiviti melibatkan penyokong sudah dirancang oleh Sabah FC bagi memastikan kemeriahan kejohanan ini dapat dirasai oleh semua penduduk Sabah sekali gus menaikkan semangat para pemain untuk beraksi lebih baik.
Sabah berjaya layak ke kejohanan Piala AFC 2023/24 selepas menamatkan saingan Liga Super 2022 di tempat ketiga dan diundi dalam Kumpulan H bersama-sama kelab Vietnam, Haiphong FC, wakil Singapura, Hougang United dan juara Liga 1 Indonesia, PSM Makassar.
“Kejayaan Sabah layak ke Piala AFC adalah kebanggaan negeri ini dan ini adalah catatan sejarah bola sepak Sabah. Bandar Raya Kota Kinabalu dan Stadium Likas bersedia mengucapkan selamat datang kepada pasukan-pasukan dari Kumpulan H.
“Kita telah bersedia dari segi pasukan, teknikal, stadium selain para penyokong juga begitu teruja menantikan perlawanan yang akan dihidangkan dan sudah tentu kami akan berikan saingan terbaik dalam edisi terakhir kejohanan ini.
“Kami akan mengekalkan harga tiket dan kemungkinan akan adakan harga istimewa buat para penyokong (tiket kombo). Saya harapkan penyokong Sabah datang beramai ramai tetapi pada masa yang sama mereka perlu patuh pada garis-garis panduan yang ditetapkan oleh AFC.

Sabah FC juga mahu meneruskan kerjasama dengan Lembaga Sukan Negeri Sabah untuk mengadakan sesi tontonan skrin gergasi di setiap daerah untuk memastikan kemeriahan Piala AFC ini dirasai oleh semua penduduk Sabah.
“Kami menjangkakan Piala AFC ini akan mendapat sokongan yang lebih baik dari penyokong dan kita juga memikirkan bagaimana kaedah buat mereka yang tidak dapat hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan secara langsung dan kita akan fikirkan bagaimana untuk mendapatkan atmosfera yang sama di luar stadium,” jelasnya.

“Setelah menjalani pemeriksaan oleh AFC, Stadium Likas telah dibaik pulih dan dinaiktaraf, AFC telah berikan laporan yang baik dan stadium itu kini bersedia menjadi tuan rumah namun masih ada beberapa perkara kecil yang akan dilakukan tetapi ianya tidak menjejaskan keadaan stadium,” jelasnya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.
Sabah bakal melayan kunjungan wakil Singapura, Hougang United di Stadium Likas untuk perlawanan pembukaan Kumpulan H pada 18 September 2023 dan dijangka puluhan ribu penyokong akan membanjiri Stadium Likas untuk menjadi sebahagian sejarah bola sepak Sabah.
SOURCE: Flash Sukan
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola