FAM sangkal tuduhan Zamsaham, dakwa kelemahan Kelantan FC punca pemain import gagal didaftar

A picture of a young Vladimir Cheskidov.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menyangkal tuduhan Norizam berhubung isu pendaftaran pemain import.
( 📸 ©Berita Harian)
klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)


Piala Malaysia: Norizam dakwa FAM punca Kelantan dibelasah

A picture of a young Vladimir Cheskidov.
Noor Azman berkata, Zamsaham tidak seharusnya menyalahkan FAM kerana fakta jelas menunjukkan bahawa TRW sudah melewati tempoh masa pendaftaran yang ditetapkan pada 1 Ogos.
(📸 ©BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan kenyataan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berhubung isu pendaftaran empat pemain import baharu The Red Warriors (TRW).

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman menjelaskan bahawa berdasarkan fakta, pihak Norizam sendiri sudah melewati tempoh masa pendaftaran yang ditetapkan.

Beliau berkata, FAM sudah mencuba sehabis baik untuk membantu terutama dalam proses permohonan dan rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Katanya, pada 29 Julai lalu pegawai Kelantan FC menghubungi pegawai TMS FAM untuk membantu mereka mendapatkan sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain, Allez Putra Azril yang bermain di Akademi Malaga FC.

"Setiap permohonan ITC pemain adalah dibuat melalui sistem TMS yang dikawal selia oleh FIFA. Oleh kerana Kelantan FC masih lagi tidak melantik pegawai TMS yang baharu, maka Kelantan FC telah memohon pertolongan bekas pegawai Kelantan FC yang masih memegang akaun TMS mereka untuk permohonan ITC pemain ini.

"Pada hari itu, tiada masalah log masuk oleh Kelantan FC ke dalam sistem TMS dan tiada permohonan oleh Kelantan FC di dalam sistem TMS untuk mendaftarkan pemain asing yang lain.

"Pada 31 Julai, pegawai TMS FAM membantu Kelantan FC menyelesaikan isu pendaftaran pemain, Allez Putra Azril dengan menghubungi Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) untuk mendapatkan pelepasan ITC pemain dan akhirnya pelepasan berjaya diperoleh.

"Seterusnya, Kelantan FC mula memaklumkan bahawa akaun TMS Kelantan FC yang dipegang oleh bekas pegawai mereka tidak dapat diakses pada hari terbabit kerana mengalami masalah log masuk," katanya dalam kenyataan, hari ini.
A picture of a young Vladimir Cheskidov.
PENJAGA gol Kelantan, Muhammad Johan Shahzidane tertunduk kaku selepas menyaksikan gawangnya dibocori 10 kali oleh JDT.
(📸 ©kosmo!)
Terdahulu, pemilik Kelantan itu menyalahkan FAM selepas TRW dibelasah JDT 0-10 pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia semalam.

Beliau menyifatkan skuad kendalian Alfredo Vera tidak akan mengalami kekalahan seteruk itu sekiranya empat pemain import baharu mereka dapat didaftarkan.

Malah, beliau turut meluahkan kekecewaan dengan sesetengah pegawai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwanya ada sikap pilih kasih.

"Pemain import baru tak dapat didaftarkan kerana masalah teknikal sistem TMS (Transfer Matching System) yang hanya FAM sahaja boleh bantu bermula pembukaan sekatan perpindahan pada 27 Julai 2023.

"Hanya empat hari Kelantan FC ada masa mendaftar. Masalah teknikal TMS ini sangat mudah diselesaikan, tetapi hanya boleh akses selepas 4 Ogos 2023 iaitu selepas tutup pendaftaran pemain asing pada 1 Ogos 2023," dakwa Zamsaham.

Mengulas lanjut, Noor Azman menjelaskan pegawai TMS FAM mendapati masih tiada permohonan ITC yang didapati dalam sistem TMS bagi Kelantan FC untuk permohonan ITC pemain yang baharu pada 1 Ogos iaitu hari terakhir jendela perpindahan kedua pemain.

Beliau berkata, Kelantan FC hanya memohon kepada FIFA melalui e-mel untuk penukaran dan pelantikan akaun TMS yang baharu pada jam 11.15 malam, iaitu 45 minit sebelum tempoh perpindahan ditutup.

Katanya, pada tarikh itu juga, terdapat beberapa pasukan lain yang memohon ITC dan sijil perpindahan domestik DTC pemain di saat akhir dan semuanya berjaya disempurnakan oleh Pegawai TMS FAM tanpa sebarang masalah log masuk atau masalah teknikal lain.

"Pada 4 Ogos, FAM menghantar surat permohonan rasmi kepada FIFA untuk melanjutkan tempoh pendaftaran kedua pemain dan pada 5 Ogos FIFA memaklumkan permohonan itu ditolak disebabkan tempoh berkenaan hanya boleh diubah sebelum tempoh pendaftaran pemain bermula," katanya.

Selain itu, Noor Azman menjelaskan FAM pada 15 Ogos sekali lagi menghantar surat rayuan kedua kepada FIFA dengan memperincikan masalah yang dialami oleh Kelantan FC untuk mendaftarkan pemain dan permohonan lanjutan pendaftaran pemain ini adalah khusus untuk pasukan Kelantan sahaja.

"Pada 16 Ogos, FAM menerima jawapan daripada FIFA yang menerangkan FIFA mengambil maklum masalah yang dihadapi oleh Kelantan FC untuk mendaftarkan pemain di saat akhir. Walau bagaimanapun, rayuan itu ditolak dengan mengambil kira tempoh berkenaan hanya boleh diubah sebelum tempoh pendaftaran pemain bermula.

"Prinsip undang-undang mengenai pendaftaran pemain ini adalah bersifat seragam, universal dan diguna pakai untuk sistem perpindahan antarabangsa dalam bola sepak. Surat jawapan itu sudah dihantar oleh FAM kepada Kelantan FC untuk pemakluman," katanya.

SOURCE: Awani

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.