Sabah FC setanding JDT - Trucha
Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha menyifatkan Sabah FC kini berada pada tahap yang setanding dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain Sabah FC, Darren Lok (dua kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan selepas berjaya menyempurnakan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Kelantan United FC, Ahmad Asyraaf Omar pada minit ke-22 dalam perlawanan Liga Super 2023 di Stadium Likas malam tadii. - Foto Mohd Adam Arinin
Ketua Jurulatih Kelantan United FC, Tomas Trucha menyifatkan Sabah FC kini berada pada tahap yang setanding dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Beliau berkata, hanya Sabah FC yang dapat menyaingi pasukan Harimau Selatan itu dan pasti ramai mahu melihat pertemuan kedua-dua pasukan berkenaan dalam saingan Liga Super.
"Bagi saya hanya Sabah FC mampu bersaing dengan JDT. Ia sudah berada pada tahap itu dan sudah tentu pertemuan JDT dengan Sabah FC nanti sesuatu yang menarik.
"Berbanding Selangor, Kedah, Terengganu, Pahang dan lain-lain saya fikir Sabah sekarang pada tahap teratas (top level)," katanya pada sidang media selepas aksi kedua Liga Super Sabah FC menentang Kelantan United FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi.
Skuad Sang Badak menewaskan Kelantan United 3-1 hasil jaringan Darren Lok, Park Taesu dan Telmo Castanheira masing-masing pada minit ke-22, 26 dan 46, manakala Indra Putra menjaringkan satu gol sagu hati untuk pasukan pelawat pada minit ke-92.
Mengulas kekalahan pasukannya, Trucha berkata beliau tidak berpuas hati selepas sekali lagi gagal mencapai sasaran mengutip mata selepas tewas tipis 1-0 di tangan Selangor pada Ahad lalu.
Beliau turut menyatakan kekecewaannya apabila gawang Kelantan United dibolosi sejurus perlawanan babak kedua bermula dan mengakui masih banyak perlu dibaiki untuk pasukannya bagi meneruskan aksi Liga Super.
Sementara itu, pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berterus terang beliau juga tidak berpuas hati terhadap kelekaan anak buahnya yang menyebabkan gawang pasukan dibolosi pada minit tambahan permainan setelah mengekalkan tiga jaringan tanpa balas sepanjang 90 minit.
Jelasnya walaupun sasaran mengutip tiga mata tercapai, corak permainan pasukan perlu diperbaiki lagi agar kelemahan yang disebabkan kelekaan pemain terutama selepas mendahului perlawanan tidak lagi berulang.
"Yang penting kita dapat lagi tiga mata tetapi selepas mendahului sudah tentu saya tidak puas hati dengn corak permainan kita di mana kita dibolosi pada minit-minit terakhir.
"Saya percaya ini satu kelekaan daripada pemain di mana kita harus tahu walaupun mendahului kita harus pastikan kita tidak dibolosi.
"Tiga mata penuh penting untuk ke perlawanan seterusnya tetapi kita harus memperbaiki lagi permainan pasukan," katanya.
Mengulas prestasi pemain selepas mengharungi dua perlawanan Liga Super 2023, Kim Swee berkata masih terlalu awal membuat penilaian, namun menegaskan beliau tidak mahu melihat anak buahnya hanya menyinar dalam dua tiga perlawanan.
"Masih terlalu awal untuk kita menilai pemain tapi bagi saya dua perlawanan setelah mendapat enam mata, saya percaya bukan Darren Lok saja, semua pemain melakukan tugas yang baik dan penting di sini untuk mereka kekal konsisten.
"Saya tidak ingin melihat pemain hanya bersinar dua tiga perlawanan tetapi selepas itu mereka tidak boleh bermain dengan baik. Bagi saya semua pemain perlu kekal konsisten tidak kira Darren Lok atau pemain mana sekalipun," katanya.
Kim Swee berkata, selepas ini pemain Sabah FC perlu mengukuhkan lagi corak permainan terutama apabila bertandang ke gelanggang lawan yang disifatkannya berbeza berbanding perlawanan di hadapan penyokong sendiri.
Sabah FC akan berdepan Kuching City FC di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak pada 6 Mac ini.
SOURCE: BH
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola
Tags
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.