Foto FB Sabah FC
Sang Badak tersungkur aksi pertama Liga Super 2022
Kota Kinabalu: Sabah FC gagal menyempurnakan peluang bermain di laman sendiri apabila tewas 1-0 terhadap Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam aksi pertama Liga Super 2022 di Stadium Likas, malam ini.Gol tunggal NSFC pada minit ke-51 itu terhasil menerusi sepakan Khair Jones yang menerima hantaran daripada tendangan percuma rakannya ketika situasi agak kecoh di hadapan gawang Sabah FC.
Skuad Sang badak yang terkejut dengan jaringan itu kemudian cuba bangkit dan mengatur semula permainan namun tiada yang berjaya disudahkan dengan gol meskipun beberapa kali melakukan cubaan sehingga ke minit akhir perlawanan.
Pada awal permainan babak pertama, Sabah FC, berjaya mencipta satu gol menerusi pemain importnya, Neto Pesoa pada minit ke-24 selepas tendangannya gagal ditepis penjaga gol NSFC, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, namun malangnya gol berkenaan dibatalkan kerana Neto berada di kedudukan offside.
Neto sekali lagi berpeluang menjaringkan gol pada minit akhir separuh masa pertama melalui sepakan penalti yang menimbulkan bantahan pasukan NSFC, namun tendangan kencangnya berjaya ditepis Ahmad Syihan.
Pengadil, Zulkarnain Zakaria memberikan sepakan penalti pada minit ke-47 itu kepada Neto selepas pemain berkenaan dirempuh Ahmad Syihan di kawasan kotak penalti.
Tindakan itu menimbulkan kemarahan NSFC kerana Ahmad Syihan dipersalahkan ketika mahu menyelamatkan gawang NSFC daripada dibolosi jaringan pihak lawan.
Permainan berakhir pada kira-kira jam 9.30 malam dengan keputusan memihak kepada NSFC. -Deasoka
SOURCE: Deasoka
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola