Tugas berat Sabah FC, JDT dahagakan 3 mata lagi

KURNIAWAN berkata Sabah FC harus menggunakan sebaik mungkin tenaga pemain yang ada berikutan jadual padat Liga Super ketika ini.



Selepas gagal mencatat kemenangan dalam empat aksi berturut-turut, sebelum ini, Sabah Football Club (FC) sekali lagi berdepan tugas sukar apabila terpaksa bertemu pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tanpa dua pemain import, malam esok.

Ketua jurulatih Kurniawan Dwi Yulianto berkata, perlawanan bertemu JDT di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, itu satu tugas berat lebih-lebih lagi pasukan berkenaan baru sekali tewas selain pernah menundukkan skuad Badak 4-1 di Stadium Likas, di sini, sebelum ini.

"Kita masih belum dapat menurunkan Park Taesu dan Josip Ivancic kerana mereka masih berada dalam senarai pemain yang tercedera.

"Semua maklum JDT adalah satu pasukan unggul dengan serba serbi lengkap yang tentunya memberi cabaran tersendiri kepada kami," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kurniawan berkata, Sabah FC harus menggunakan sebaik mungkin tenaga pemain yang ada berikutan jadual padat Liga Super ketika ini.


PEMAIN tengah JDT, Leandro Velazquez cuba melepasi kawalan Safawi Rasid pada sesi latihan di Stadium Sultan Ibrahim menjelang pertembungan menentang Sabah FC, malam esok.
Katanya, pertukaran pemain perlu dilakukan dan hanya pemain yang 100 peratus cergas yang akan diturunkan bagi memastikan rentak permainan pasukan tidak terjejas

"Tentunya kita harus berfikir bagaimanakah rotation permain dan taktikal yang akan digunakan untuk menghadapi JDT malam esok.

"Apa yang paling penting, pemain diturunkan nanti adalah yang mempunyai tahap kecergasan 100 peratus serta fokus kepada perlawanan yang dianggap sangat berat ini," katanya.

Sementara itu, pengendali dari Indonesia itu berkata, kehadiran semula pemain tengah dari Gabon, Levy Clement Madinda melegakannya kerana beranggapan pemain itu penting untuk menggerakkan bahagian tengah pasukan.

"Dia (Madinda) boleh mengawal permainan di bahagian tengah dan dia juga tidak mudah hilang bola, apa yang lebih penting, dia mampu melakukan hantaran-hantaran baik ketika pasukan melakukan serangan," katanya.

Madinda sebelum ini dilaporkan akan meninggalkan Sabah FC namun beberapa hari kemudian dia kembali untuk mengikat kontrak bersama pasukan berkenaan.

Selepas 17 perlawanan, Sabah FC kini berada di kedudukan ketujuh dengan 19 mata hari daripada empat kemenangan, tujuh seri dan enam kekalahan.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.