ATM berpesta Gol! Sabah FA hanya mampu masuk gua!

Kickbola.net Sabah tumbang di laman sendiri dalam pesta gol | pic: North Borneo Ultras
Sabah tumbang di laman sendiri dalam pesta gol

LIKAS: Hasrat pasukan Sabah untuk mencatat kemenangan pertama di gelanggang sendiri musim ini bukan saja tidak kesampaian, malah turut dimalukan di hadapan penonton mereka dalam pesta gol itu, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu, skuad Badak tumbang 5-2 kepada pasukan ATM.

Pada aksi sengit itu, pasukan pelawat lebih dulu menembusi pintu gol tuan rumah menerusi sentuhan Pavel Smolyachenko pada minit ke-2, berpunca daripada kesilapan penjaga gol, Rozaimie Rohim gagal menyepak baik bola hantaran belakang Masaya Jitzono.

Skuad kendalian Azhar Abdullah itu kemudian menambah jaringan pada minit ke-13 menerusi Mohd Rafizol Roslan yang mudah menyepak masuk bola hantaran Venice Elphi Danny Kaya.

PEMAIN Sabah, Jonathan Henri Desire William Behe diasak pemain ATM, Ikbolian Bobokhonov (dua dari kanan) pada saingan Liga Perdana di Stadium Likas, Kota Kinabalu. 

Serangan bertali arus Sang Badak selepas itu akhirnya membuahkan hasil apabila Behe berjaya menanduk masuk bola sepakan sudut Jitzono pada minit ke-26 bagi menjadikan kedudukan 2-1 dan ianya kekal sehingga tamat babak pertama.

Pada minit ke-51, ketua pasukan, Rawilson Batuil menceriakan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi tandukan selepas mendapat hantaran sepakan sudut daripada Jitzono.

Gol itu ternyata menyuntik semangat tuan rumah untuk terus memburu gol. Bagaimanapun, serangan mereka berjaya dipatahkan pertahanan lawan manakala ATM yang sekali sekala mencemaskan pintu gol Sabah turut gagal menghasilkan jaringan.

Pada minit ke-76, Smolyachenko sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada Sang Badak apabila menanduk masuk gol ketiga buat pasukannya.

Keadaan kemudian menjadi lebih sukar buat tuan rumah apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Azzizan Nordin mengalami kecederaan tatkala tiada lagi pemain gantian boleh dimasukkan.

Dan peluang itu digunakan sebaiknya oleh ATM apabila berjaya memperoleh dua lagi gol, masing-masing menerusi Mohd Rafizol pada minit ke-86 dan Smolyachenko yang melengkapkan hatrik pada minit ke-90.

Kedudukan 5-2 itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan, Ahmad Fareez Mat Suburi meniupkan wisel penamat.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.