Pahang membuka langkah kanan dalam kancah bola sepak Piala AFC selepas menewaskan Yadanarbon FC 3-2 dalam perlawanan pertama Kumpulan G di Stadium Mandalar Thiri di Mandalay, Myanmar, petang ini.
Wira pasukan adalah R Gopinathan yang meledakkan gol kemenangan seminit sebelum tamat permainan ketika anak didik Zainal Abidin Hassan seperti nyaris mahu pulang berbekal satu mata pada kedudukan 2-2.Pemain Pahang, R Gopinathan. - Foto Luqman Hakim Zubir |
Pahang juga bermain dengan bekalan 10 pemain selepas Razman Roslan dilayangkan kad merah pada minit ke-56 selepas satu kekasaran dalam kotak penalti.
Satu lagi perlawanan Kumpulan G membabitkan Global FC dari Filipina dan South China dari Hong Kong pada lewat hari ini di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina.
Pahang akan menerima kunjungan Global FC pada aksi kedua kumpulan di Stadium Darul Makmur, Kuantan manakala South China akan menentang Yadanarbon FC di Stadium Mongkok, Hong Kong. Kedua-dua perlawanan berlangsung 11 Mac ini..