Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Fritz Schmid diberi kata dua agar membuktikan kemampuannya atau berdepan kemungkinan digugurkan.
P residen FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata badan induk akan memantau rapi prestasi yang ditunjukkan oleh warga Switzerland itu sebelum memutuskan sebarang tindakan terhadap beliau."Kita akan beri dia peluang setahun lagi sebelum kita memutuskan sebarang keputusan dan tindakan ke atasnya.
"Sekiranya dia gagal menyerlah kita tidak akan teragak-agak gugurkan dia. Schmid hanya seorang Pengarah Teknikal, tidak lebih daripada itu," kata baginda kepada pemberita selepas majlis pelancaran pembukaan Mahkota Golf and Country Club, di sini hari ini.
Tengku Abdullah berkata FAM akan menggugurkan sesiapa sahaja yang gagal membawa sebarang pembaharuan dan kejayaan kepada sukan bola sepak negara termasuk jawatan Presiden FAM itu sendiri.
Schmid memiliki sijil kejurulatihan profesional Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan FAM tahun lalu.
Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang itu mahu skuad Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mewakili negara pada saingan Piala AFC terus mencipta keputusan terbaik pada kejohanan berkenaan.
Baginda mengucapkan tahniah kepada pasukan Pahang yang berjaya menewaskan kelab Myanmar, Yadanarbon FC 3-2 di Stadium Mandalar Thiri, Myanmar, dalam perlawanan Kumpulan C Selasa lalu.
Selain itu, baginda juga mengucapkan tahniah kepada JDT yang menewaskan kelab dari India, East Bengal 4-1 dalam saingan Kumpulan F di Stadium Larkin, Johor Baharu pada hari yang sama.
"Pencapaian membanggakan dilakarkan dua pasukan berkenaan selaku juara Piala Malaysia dan Liga Super musim lepas berupaya mengubah imej bola sepak negara di pentas antarabangsa.
"Peluang yang terhidang perlu digunakan sepenuhnya oleh pasukan berkenaan untuk membuktikan kelebihan yang mereka miliki di peringkat kebangsaan seterusnya ke pentas antarabangsa," kata baginda. - BERNAMA