Penyerang import Sabah FA, El Hadji Diouf menyifatkan beliau tidak akan bermain di Liga Malaysia jika tahu keadaan padang teruk di Stadium Merdeka pada aksi pembukaan Liga Perdana menentang Kuala Lumpur semalam.
Penyerang Senegal berusia 34 tahun itu berkata, dia amat sedih melihat permukaan padang yang tidak rata, sambil menegaskan, perkara sebegitu tidak sepatutnya berlaku tatkala Liga Malaysia sedang mencuri tumpuan ramai.“Sungguh mendukacitakan apabila saya melihat keadaan permukaan padang, malah saya tidak sangka akan beraksi di tempat sebegini.
“Stadium Merdeka adalah stadium memorial kerana banyak peristiwa bersejarah berlaku di sini. Ia sepatutnya dipelihara dengan baik.
“Keadaan permukaan padang yang tidak rata menyebabkan pemain tidak dapat beraksi dengan baik dan ini tidak bagus.
“Penonton bayar tiket untuk menonton perlawanan dan jika mereka tidak terhibur, kasihan mereka,” kata bekas penyerang Liverpool.
Diouf berjaya mencetak satu gol menerusi penalti untuk pelawat dalam kemenangan 2-0 semalam sekali gus menempatkan pasukan Sabah di tangga ke-4 carta liga..