‎AZZIZAN NORDIN MAHU TERUS MENYINAR BERSAMA SABAH FA

Kickbola.net ‎AZZIZAN NORDIN MAHU TERUS RADU BERSAMA SABAH FA | FOTO Mino Ersyah Arshad | Artikel Asal - Sabahfa.com

‎AZZIZAN MAHU TERUS ‘RADU’

PEMAIN tengah Sabah Rhinos, Azzizan Nordin, 21, bukan sahaja bertekad membantu pasukan mencapai misi layak ke Liga Super musim depan, malah turut mengintai peluang untuk beraksi bersama Harimau Muda.

B
agi pemain yang berasal dari Bongawan itu, pasukan Harimau Muda bukanlah asing baginya kerana sebelum ini dia pernah dipanggil Datuk Ong Kim Swee pada 2012 selepas dia menamatkan pelajarannya di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahinya kerana gagal merebut tempat dalam skuad utama Harimau Muda namun berjaya diserapkan dalam pasukan Harimau Muda B yang beraksi di Liga Singapura pada tahun 2012 dan 2013.

Bakat beliau dalam Harimau Muda B juga bersinar apabila dilantik sebagai ketua pasukan pada 2013 sebelum kembali ke Sabah untuk menyarung jersi skuad Piala Presiden negeri, tahun lalu.

Kini, Azzizan diberi kepercayaan oleh pengurusan Sabah Rhinos untuk membantu pasukan menghadapi Liga Malaysia 2015 dan setakat ini, beliau melaksanakan tugasnya dengan baik.

Azzizan mula mencuri tumpuan para penyokong apabila mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan lalu, termasuk dua perlawanan awal Liga Perdana yang dimenangi Sabah Rhinos.

Malah, Azzizan turut mencatatkan nama sebagai penjaring pada perlawanan menentang DRB-Hicom di Stadium Likas, Jumaat lalu.


Kebolehan Azzizan menguasai bahagian tengah sebagai ‘defensive midfielder’ jelas mendapat pujian malah ada di kalangan penyokong yang menamakan beliau sebagai ‘man of the match’ pada perlawanan menentang Kuala Lumpur, lalu.



Bagaimanapun, pujian yang diberikan itu tidak mengkhayalkan Azzizan malah bertekad akan terus memberikan persembahan terbaik pada setiap perlawanan demi memastikan Sabah Rhinos mencapai sasaran mereka pada musim ini.

Selain itu, dia juga berjanji akan memberi persembahan terbaik pada setiap perlawanan demi mengintai semula peluang beraksi bersama Harimau Muda.

“Sudah semestinya saya mahu mewakili negara, namun yang paling penting ketika ini ialah membantu Sabah Rhinos mencapai sasaran layak ke liga super dan sekiranya saya dipanggil menyertai skuad Harimau Muda, ia satu bonus bagi saya.

“Saya gembira kerana dapat memberi sumbangan kepada pasukan namun apa yang kami capai setakat ini adalah hasil kerjasama kuat setiap pemain,” katanya.

Beliau berkata, Sabah Rhinos juga bernasib baik kerana memiliki pemain ternama yang sangat berpengalaman iaitu El Hadji Diouf dan Abdoluaye Faye.

“Mereka banyak membantu dan mengajar kami, ia satu pengalaman berharga buat semua pemain dan kami sangat yakin kehadiran mereka mampu memperkuatkan lagi Sabah Rhinos.

“Saya juga gembira dengan keadaan pasukan ketika ini, kami semua seperti satu keluarga, susah senang kami tempuhi bersama…saya harap kami akan mampu mencapai sesuatu yang membanggakan tahun ini,” katanya.

Post a Comment

1 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.
  1. Thun ini 2020 pnyokong sabah fa mgharapkn sesuatu yg lbih baik dr anda dan pasukan. Teruskan persembahan yg trbaik demi mncapai matlamat pasukan.

    ReplyDelete