
Hukuman FIFA tidak berasas undang-undang, bermotif politik – TMJ
Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim menegaskan hukuman yang dijatuhkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan negara tidak berasaskan peruntukan undang-undang sebenar badan induk bola sepak dunia itu.Baginda yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, tindakan FIFA menghukum pemain jelas bercanggah dengan Artikel 22 dalam kod peraturan badan itu sendiri.
Menurut baginda, artikel berkenaan secara jelas menyatakan hanya individu yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan tatatertib.
"FIFA terus menghukum para pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan bahawa hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan.
"Perkara itu langsung tidak terpakai kepada pemain," titah baginda.
Tunku Mahkota Ismail turut menyuarakan kebimbangan apabila tindakan FIFA dilihat seolah-olah tidak berpaksikan kepada prinsip keadilan dan undang-undang sukan yang sebenar.
Baginda juga berpandangan keputusan itu lebih menjurus kepada kepentingan tertentu dan tidak mencerminkan ketelusan sebuah badan antarabangsa.
"Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat 'bermotif politik' berbanding sebab yang sebenar.
"Ia bukan semata-mata soal teknikal, tetapi menimbulkan persoalan sama ada keputusan ini dibuat dengan niat tertentu," titah baginda lagi.

"Perjuangan ini kini akan diteruskan ke CAS iaitu sebuah badan bebas," katanya.
SOURCE: Arena Harian Metro
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola
