Liga Malaysia 2013 tinggalkan pelbagai kisah suka duka
Bagi peminat bola sepak tempatan, 2013 pasti mahu segera dilupakan dalam ingatan mereka. Tiada kejayaan di peringkat antarabangsa yang boleh menjadi tajuk bualan peminat, tidak kira sama ada ia membabitkan pencapaian skuad senior mahupun Harimau Muda.Kegagalan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) kendalian Datuk Ong Kim Swee menjadi penutup penuh duka tahun ini apabila mereka pulang dengan tangan kosong pada temasya Sukan SEA di Myanmar sekali gus gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada dua edisi terdahulu.
Skuad muda ini diletakkan harapan tinggi selepas melakukan persiapan rapi dalam dan luar negara termasuk pendedahan di Eropah namun krisis kecederaan ramai tonggak utama seperti Wan Zack Haikal Wan Noor dan Junior Eldstal memberi kesan kepada persembahan pasukan walaupun berjaya memenangi Pestabola Merdeka September lalu.
Episod malang skuad B-23 itu seakan menuruti langkah sumbang 'abangnya' yang kini diibaratkan sudah 'nyawa-nyawa ikan' untuk layak ke Piala Asia 2015 selepas gagal dalam perebutan dua pasukan terbaik Kumpulan D dan kini mengharapkan tiket sebagai pasukan ketiga terbaik keseluruhan untuk mara.
Dengan rekod hanya dua kemenangan dalam 20 perlawanan kompetitif dan persahabatan sepanjang tahun ini serta ranking yang tidak banyak berubah iaitu di tangga ke-154 dunia, ia menguatkan lagi alasan buat Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mencari pengganti baru Datuk K Rajagobal yang tamat kontraknya hari ini.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola
Tags
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.