Bekas jurulatih China dipenjara 20 tahun kerana rasuah
BEIJING: Bekas jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan lelaki China, Li Tie dihukum penjara selama 20 tahun, lapor media kerajaan hari ini, berikutan perbicaraan panjang atas tuduhan rasuah.Bekas pemain Everton, Li "dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun pada perbicaraan awal", kata agensi berita Xinhua, tanpa memberikan butiran lanjut.
Presiden China, Xi Jinping melancarkan tindakan keras menyeluruh terhadap rasuah rasmi sejak berkuasa lebih sedekad lalu.
Pihak berkuasa antirasuah menyasarkan industri sukan pada tahun 2022 dan mengumumkan rentetan hukuman bagi bekas pentadbir bola sepak minggu ini.
Beliau tampil dalam satu dokumentari disiarkan badan penyiar kerajaan CCTV pada Januari lalu mengenai rasuah yang berleluasa dalam bola sepak China.
CCTV beberapa kali menyiarkan pengakuan oleh suspek jenayah sebelum mereka dihadapkan ke mahkamah, satu amalan yang dikutuk secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia.
Dalam program itu, Li berkata beliau mengatur hampir AS$421,000 (RM1.87 juta) sebagai rasuah untuk mendapatkan jawatan ketua jurulatih dan membantu mengatur perlawanan ketika menjadi jurulatih kelab dalam Liga Super China.
"Saya minta maaf. Saya sepatutnya memikirkan dan mengikut jalan yang betul," kata Li ketika program itu.
"Ada perkara tertentu pada masa itu menjadi amalan biasa dalam bola sepak."
Li beraksi hampir 100 perlawanan bersama skuad kebangsaan China. – AFP
SOURCE: BH
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola