FAM tetap optimis Harimau Malaya ke final
Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti memulakan aksi di pentas AMEC dengan keputusan seri 2-2 ketika bertemu Kemboja di Stadium Olimpik Phnom Penh pada Ahad lalu.
Stuart Wilkin dan Fergus Tierney mencatatkan nama sebagai penjaring gol buat pasukan Malaysia sekaligus menyaksikan skuad negara hanya membawa pulang satu mata dari laman lawan.
Skrip hampir serupa pada perlawanan kedua apabila skuad kebangsaan turun melayani kunjungan Timor Leste di Bukit Jalil dan negara di ranking ke-196 dunia nyaris mengejutkan Malaysia.
Timor Leste mendahului 2-1 di babak pertama sebelum Paulo Josue muncul wira Harimau Malaya dengan dua jaringan di babak kedua untuk Malaysia meraih tiga mata pertama.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Ibrahim, sudah pastinya pihak kepimpinan badan induk itu meletakkan sasaran supaya pasukan negara mara sehingga aksi final.
”Kita ada letak sasaran dan sudah semestinya untuk ke final (AMEC 2024),” ujar beliau menurut laporan wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
“Kalau kita tengok sasaran kita setinggi mana yang kita boleh (capai) tetapi sasaran kita ke final,” tambah beliau.
Skuad negara ketika ini berada di Bangkok untuk melakukan persiapan menjelang perlawanan ketiga peringkat kumpulan bertemu juara bertahan, Thailand pada Sabtu, 14 Disember.
Carta kumpulan ketika ini menyaksikan Malaysia mendahului dengan 4 mata setelah dua perlawanan manakala Thailand di tempat kedua dengan 3 mata namun miliki kelebihan 1 aksi.
SOURCE: makanbola.com
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola