‘Kini Pemandu Uber’ – Kisah Hakan Şükür, Legenda Turki Yang ‘Dibuang Negara’

Picture
Dituduh mengkhianati negara, legenda bola sepak Turki tersebut kini terpaksa meneruskan kehidupannya dengan melakukan pekerjaan golongan marhaen di Amerika Syarikat.

klik 👉 Follow Telegram Obsesbola untuk berita bolasepak terkini (large-bt)



Bagi peminat sukan bola sepak terutamanya pada era penghujung 90-an, pastinya Hakan Sukur merupakan nama yang tidak asing lagi disebabkan aksi luar biasanya di kejohanan Piala Dunia 2002.

Penyerang Turki itu hanya memerlukan 10.8 saat untuk merekodkan gol terpantas kejohanan ketika menentang pasukan tuan rumah Korea Selatan dan rekod tersebut masih kekal sehingga hari ini.


Beliau merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak sepanjang zaman Turki dengan 51 gol untuk meletakkannya selaku legenda bola sepak negaranya.

Tetapi disebabkan pergolakan politik di Turki beberapa tahun lalu, beliau terpaksa ‘melarikan diri’ jauh ke Amerika Syarikat dan kini sekadar menjadi pemandu Uber. Satu kehidupan yang tidak selayaknya buat seorang legenda bola sepak.

Terjun ke dunia politik

Hakan Sukur pernah menyertai Blackburn Rovers dan Inter Milan, namun kemuncak kariernya adalah ketika mewakili Galatasaray sebelum menggantung but pada 2008 dan diiktiraf sebagai legenda kelab Turki itu.

Sebaik sahaja bersara sebagai pemain profesional, beliau sempat menjadi pengulas sukan sebelum bergiat aktif dalam politik dengan menyertai Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Hakan Sukur kemudian bertanding dalam pilihanraya dan diangkat menjadi Ahli Parlimen Turki pada 2011. Namun dua tahun kemudian, beliau telah meletakkan jawatannya dalam parti kerana kemelut skandal rasuah yang melibatkan menteri-menteri senior dan golongan yang rapat dengan Erdogan.


Pendedahan skandal ini dipercayai didalangi oleh Fethullah Gulen yang pernah menjadi sekutu rapat Erdogan sebelum ini. Gulen secara lantang mengkritik barah amalan rasuah dalam pemerintahan Erdogan.

Hakan Sukur pula dikatakan mempunyai hubungan yang baik dengan tokoh ilmuan Islam yang berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut.

Meskipun begitu, kedudukannya selaku Ahli Parlimen masih kekal dan beliau kekal menduduki kerusi tersebut selaku wakil rakyat bebas sehingga tamat penggal pada Jun 2015.

Dituduh mengkhianati negara

Pergeseran di antara beliau dengan Erdogan mencapai kemuncak apabila berlaku percubaan rampasan kuasa pada Julai 2016 yang menyaksikan sekumpulan tentera yang berpaling tadah melakukan serangan ke atas Parlimen dan Istana Presiden.

‘Peristiwa hitam’ itu yang menyebabkan sekurang-kurangnya 238 orang terbunuh dan hampir 2,200 orang cedera.

Kegagalan kudeta tersebut menjadi permulaan kepada kejatuhan Hakan Sukur. Kerajaan pimpinan Erdogan telah mengambil tindakan drastik dengan berpuluh ribu individu ditahan kerana dituduh mempunyai hubungan dengan Gulen manakala lebih 140,000 kakitangan kerajaan dipecat.

Ia dipercayai sebagai usaha untuk menamatkan pengaruh Gulen dalam semua institusi di negara tersebut walaupun tindakan itu mendapat kecaman boleh pihak Barat dan pejuang hak asasi manusia.

Status Hakan Sukur selaku legenda bola sepak Turki tidak menghalang untuk beliau menjadi buruan pihak berkuasa.

Hakan Sukur telah dituduh dengan kesalahan menghina Erdogan di Twitter. Beliau menafikan bahawa ciapannya ditujukan kepada Erdogan. Tetapi alasan itu ditolak oleh pihak pendakwaraya yang menyatakan ia ‘dengan jelas’ ditujukan kepada Presiden Turki.

Sekiranya didapati bersalah, Hakan Sukur boleh dikenakan hukuman penjara 4 tahun. Keadaan tersebut mendorongnya untuk berhijrah ke Amerika Syarikat dan mula memulakan kehidupan baharu di San Francisco.

Ku sangka panas sampai ke petang

Pada 2017, sebuah agensi berita Turki pernah mendedahkan bahawa Hakan Sukur hidup mewah dengan menginap di rumah berharga $3 juta (RM12.23 juta). Malah beliau juga dilihat menaiki beberapa kereta mewah dan memiliki kafe di kawasan mewah.

Tetapi entah apa yang berlaku, hari ini beliau terpaksa meneruskan kehidupannya dengan menjadi pemandu Grab dan menjual buku.


“Saya dah tiada apa, Erdogan telah rampas segalanya: hak saya untuk hidup bebas, kebebasan bersuara dan hak untuk bekerja,” ujarnya dalam satu temubual bersama media Jerman, Welt am Sonntag.

“Sehingga hari ini, tiada siapa dapat buktikan peranan saya dalam insiden tersebut. Saya tidak pernah melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang. Saya bukan pengkhianat atau pengganas.

“Saya mungkin dicop sebagai musuh kepada kerajaan ini, tetapi saya bukan musuh kepada Turki. Saya sayangkan negara saya.

“Selepas ‘berpisah’ dengan Erdogan, saya mula menerima pelbagai bentuk ancaman. Kedai isteri saya diserang, anak saya diancam, ayah saya disumbat ke dalam penjara dan semua aset saya dibekukan.

“Jadi saya ambil keputusan untuk berpindah ke Amerika Syarikat, mengusahakan sebuah kafe di California, tetapi ada individu mencurigakan selalu datang ke kafe. Jadi sekarang saya cuma memandu untuk Uber dan menjual buku.”

Ini pastinya bukan perjalanan hidup yang baik buat Hakan Sukur apabila beliau tidak dapat kembali ke tanah air tercinta walaupun namanya terpahat selaku legenda bola sepak negaranya.

SOURCE: semuanyabola.com

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.