Pengendali Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto, berkata, kemenangan bergaya 4-0 yang dicatatkan pasukan itu dalam aksi Liga Super bertemu UiTM FC di Stadium Likas, di sini, malam tadi, adalah hasil kerja keras luar biasa yang anak didiknya.
Katanya, para pemain melaksanakan tugas masing-masing dengan baik, seperti mana yang telah dirancang untuk perlawanan itu."Ini tiga mata yang sangat bererti dan saya berterima kasih kepada pemain kerana kerja keras yang luar biasa walaupun pada awalnya kita terikut rentak lawan.
"Bagaimanapun, mereka (pemain) fokus 100 peratus dan sebelum ini saya juga telah mengingatkan mereka supaya tidak memandang mudah cabaran UiTM FC kerana mereka juga mahu menang," katanya dalam sidang media selepas perlawanan itu malam tadi.
Kurniawan berkata, walaupun berjaya memenangi aksi malam tadi, beliau tetap menghormati dan memuji semangat melawan UiTM FC yang dianggap kini agak tertekan kerana baru mengutip satu mata.
"Ya mungkin mereka berada dalam keadaan tertekan kerana baru mengutip satu mata, namun, para pemain kita berjaya mengambil kesempatan daripada itu bagi memastikan tiga mata penuh kita dapat dari gelanggang sendiri," katanya.
Dalam aksi malam tadi, gol dijaringkan Sam Johson, Saddil Ramdani, Park Taesu serta Bobby Gonzalez memastikan kemenangan bergaya 4-0 skuad Badak.
Sementara itu, ketua jurulatih UiTM FC, Mohd Reduan Abdullah berkata, beliau tidak sangka yang skuad kendaliannya akan tewas dengan jaringan yang banyak.
Katanya, ketumpulan di bahagian serangan juga antara faktor mengapa mereka tidak mampu menyaingi Sabah FC selain pertahanan yang goyah sehingga memberi ruang kepada lawan untuk menembusi benteng mereka.
"Kita tidak jangka 4-0 kerana kita jangkakan satu perlawanan yang sengit, tetapi pemain kita beberapa kali hilang tumpuan.
"Saya melihat mereka (pemain) bermain baik, ada hantaran pendek, hantaran panjang, tapi di bahagian serangan kita tidak begitu baik.
"Kita akan cuba memperbaiki kelemahan yang ada untuk perlawanan-perlawanan seterusnya, paling ketara di bahagian serangan," katanya.
Dengan kemenangan malam tadi, Sabah FC melonjak ke tangga kelapan selepas mengutip sembilan mata dari sembilan aksi manakala UiTM FC pula terus terperosok di dasar liga selepas hanya mengutip satu mata daripada sembilan perlawanan.
Aksi Sabah FC seterusnya ialah bertemu Selangor FC pada Jumaat depan manakala UiTM FC bakal berdepan PJ City pada Sabtu.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.