Isu kad kuning Nazmi Faiz tidak timbul sama sekali – FAS


Kickbola.net MUHAMMAD NAZMI FAIZ (No. 10) menjadi watak penting Selangor ketika menamatkan penantian 10 tahun untuk muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-33 di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.
Cubaan 'rampas piala’ gagal

Kemenangan Selangor sah, isu kad kuning Nazmi Faiz tidak timbul sama sekali – FAS

KUALA LUMPUR - Dua hari selepas menamatkan penantian 10 tahun dengan merangkul Piala Malaysia buat kali ke-33, kemenangan Se­langor seolah cuba ‘dirampas’ pihak tertentu yang menimbulkan isu kad kuning Muhammad Nazmi Mansor untuk membawa kepada pembatalan Red Giants sebagai juara 2015.

Isu tersebut kecoh di laman-laman sosial apabila ada pihak mendakwa, Selangor telah melanggar peraturan dengan menurunkan Nazmi dalam perlawanan akhir menentang Kedah di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu kerana pemain itu telah mengutip dua kad kuning di peringkat kumpulan.

Malah, ada yang mendakwa kononnya Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal mengadakan mesyuarat khas hari ini untuk membincangkan kedudukan pemain tengah berusia 21 tahun itu.

Bagi menghentikan kegelisahan penyokong Red Giants terhadap khabar angin yang bertiup kencang itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) tampil memperjelaskan isu tersebut.


Setiausaha FAS, Rosman Ibrahim menjelaskan bahawa perkara tersebut hanya satu salah faham semata-mata dan tidak sepatutnya diperbesarkan di laman-laman sosial.

“Sebenarnya isu ini tidak perlu timbul, namun disebabkan salah faham dalam kalangan peminat maka perkara tersebut diperbesarkan di laman sosial.

“Untuk pengetahuan semua, bagi setiap peringkat kalah mati (suku akhir dan separuh akhir) mana-mana pemain yang menerima dua kad kuning bermakna pemain tersebut akan digantung satu perlawanan.

“Manakala untuk peringkat kumpulan pula sekiranya pemain tersebut mengutip tiga kad kuning maka pemain tersebut akan digantung satu perlawanan.

“Bagaimanapun sekiranya mana-mana pemain mengutip dua kad kuning di peringkat kumpulan ia tidak akan dibawa dalam peringkat kalah mati kerana di pusingan tersebut kiraan kad akan dikira daripada kosong.

“Mungkin perkara ini agak teknikal dan ada sesetengah orang tidak faham. Tapi itu tidak mengapa. Isu mengenai penarikan semula Piala Malaysia tidak perlu ditimbulkan lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, Nazmi ketika ditanya mengenai perkara itu mengakui hairan bagaimana isu tersebut boleh dibangkitkan dan meminta penyokong Selangor agar tidak melayani sebarang khabar angin.

“Pada peringkat kumpulan saya digantung dua perlawanan sebab mengutip satu kad merah sewaktu menentang Kelantan dalam aksi Liga Super. Itu bermakna, ketika bertemu Kelantan dan T-Team saya tidak diturunkan.

“Selepas memasuki peringkat kalah mati (suku akhir dan separuh akhir) saya tidak mengutip sebarang kad jadi macam mana perkara ini boleh timbul saya pun tidak tahu,” katanya.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.