4 pemain dipanggil perkuat persiapan hadapi UAE
SEPANG: Empat pemain - Baddrol Bakhtiar, Safee Sali, Azamuddin Akil dan Jasazrin Jamaluddin akan dibawa masuk jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee ketika bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 di Stadium Shah Alam, Selasa ini.
Menyifatkan tiada ruang untuk Malaysia meratapi kekalahan besar 6-0 kepada Palestin, semalam, Kim Swee yang ditemui sejurus tiba di tanah air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur terus bernada positif dengan kehadiran empat pemain baharu itu diharap dapat memberi nafas baharu kepada skuad bimbingannya nanti.Keempat-empat pemain itu dibawa masuk bagi menggantikan empat pemain yang terpaksa disisihkan iaitu penyerang Selangor, Hazwan Bakri (berkahwin), Nazirul Naim Che Hashim dan Razman Roslan yang mengalami kecederaan serta penyerang berpengaruh, Amri Yahyah yang menerima kad kuning kedua.
Ia bagi menggantikan Hazwan (Bakri) yang berkahwin, Nazirul (Naim Che Hashim), Razman (Roslan) yang cedera serta Amri Yahyah yang memperoleh dua kad kuning," kata Kim Swee.
"Kita akan membawa masuk Baddrol, Safee, Azamuddin serta Jasazrin saya harap pemain-pemain ini dapat beri nafas baharu terutama dari segi kecergasan mereka selain dapat bantu kita untuk lakar beberapa aspek taktikal yang lain.
"Kita tahu Safee amat penting, Baddrol yang bermain dalam dua perlawanan sebelum bertemu Palestin namun malangnya Amri tidak bersama namun saya percaya pemain-pemain ini mereka dapat beri impak lebih baik," katanya.
Mengulas kekalahan kepada Palestin, Kim Swee mengakui ia terlalu mengecewakan kerana sejak membimbing skuad negara, pasukan kebangsaan tidak pernah dibolosi lebih daripada dua gol.
"Dari segi keputusan ia memang amat mengecewakan kerana ia jumlah gol yang besar. Kita gagal pertahan gawang kita selepas bermain begitu baik pada 35 minit pertama. Kita gagal kawal keadaan hantaran jauh serta beberapa faktor lain," katanya.
"Saya sudah cakap beberapa kali. Kita perlu realistik kerana jurang kita agak jauh sekarang.
Palestin seri dengan Saudi dan UAE dan ia membuktikan mereka pasukan terbaik dan masih cabar Saudi dan UAE untuk tempat kedua dalam kumpulan. Mereka sudah berada di tahap berlainan.
"Kita pula masih lagi dalam proses mendapatkan momentum, konsistensi. Kita perlukan masa. Agak mengecewakan jumlah jaringan cukup banyak. Saya tidak nafikan jumlah jaringan ia menyedihkan. Apa yang penting kita masih ada satu perlawanan pada Selasa ini untuk kita bermain dengan lebih baik.
"Kita perlu tunjuk prestasi lebih positif," katanya yang mengakui akan terus mengalas tanggungjawab yang diberikan kepadanya.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola