Penyokong bola sepak di Jepun dilaporkan menunduk malu selepas pengadil dari negara itu Yuichi Nishimura dikatakan membuat keputusan kontroversi untuk membantu Brazil menewaskan Croatia 3-1.
Laman sosial di jepun menjadi tumpuan apabila pengadil berkenaan menghadiahkan penalti mudah kepada Brazil ketika permainan sengit berlangsung di Arena Corinthians, Sao Paulo.Selain itu, beberapa gambar turut dimuat naik menunjukkan Nishimura menyarungkan jersi Brazil.
"Banyak tindakan Nishimura kurang tepat," kata @shinokc. "Ia tidak penalti. Saya berasa sedih untuk Croatia."
Komen lain yang turut hebat mengkritik ialah menerusi @tonbuhin: "Oh, jika Brazil menang Piala Dunia, seluruh dunia akan berkata Nishimura adalah MVP (pemain paling bernilai)."
Pengadil berusia 42 tahun itu, turut menafikan jaringan Croatia dan tidak memberikan kad merah terus kepada Neymar selepas pemain itu menyiku Luka Modric.
Nishimura menjadi pengadil perlawanan antarabangsa sejak 2004 dan mengendalikan beberapa kejohanan besar termasuk perlawanan Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.