Keajaiban budak emas Neymar memastikan Brazil untuk memungut mata penuh dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2014 bertemu Croatia.
Kelekaan di awal permainan terus menghantui Brazil apabila dibolosi di awal minit ke-11 selepas Marcelo tertampan bola ke dalam gawang sendiri ketika cuba menyekat cubaan Nikica Jelavic.
Jaringan sendiri itu menyaksikan Marcelo muncul sebagai pemain Brazil tunggal yang menjaringkan gol di pentas pusingan akhir.
Gol itu bagaimanapun tidak melemahkan semangat tuan rumah yang mula menyusun gerakan bahaya dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-30, Neymar mencetak namanya sebagai penjaring, dua minit selepas dia mengutip kad kuning kerana mengasari Luka Modric.
Gerakan gol itu diilhamkan Oscar yang berjaya melepasi kepungan tiga pemain di tengah padang sebelum melorongkan bola kepada bintang Barcelona itu.
Sebaik babak bersambung Brazil mengamalkan permainan berhati-hati.
Neymar merakamkan gol kedua menerusi sepakan penalti selepas pengadil dari Jepun, Yuichi Nishimura memutuskan Dejan Lovren menarik Fred.
Segalanya tidak berpihak kepada Croatia termasuk satu jaringan dibatalkan walaupun berhasil memberi tekanan kepada lawan mereka.
Oscar yang bekerja keras sejak awal permainan akhirnya menutup permainan sebagai penjaring hasil usaha solonya untuk menewaskan Stipe Pletikosa buat kali ketiga.