Rozaimi Abdul Rahman mula training gym. kuatkan kaki kembali .. |
SELEPAS hampir tiga bulan menyepi, penyerang Sabah, Rozaimi Abdul Rahman akhirnya selamat menjalani pembedahan buku lali yang menghantuinya sejak Februari lalu di Hospital Pakar KPJ Damansara.
Pengurus Pasukan, Rahman Zakaria, berkata pembedahan ‘major’ yang dijalani Rozaimi berjalan lancar namun terpaksa berehat panjang dan hanya dijangka akan kembali beraksi semula musim depan.“Beliau telah selamat jalani pembedahan dan dibenarkan keluar hospital petang tadi (Isnin), bagaimanapun kita masih belum dapat pastikan bila beliau akan mampu beraksi semula kerana beliau terpaksa menjalani pembedahan major berikutan beberapa uratnya terjejas akibat kecederaan dialaminya itu.
“Apapun marilah kita sama-sama berdoa supaya Rozaimi cepat sembuh kerana dia adalah aset penting pasukan dan dia juga termasuk dalam perancangan pasukan untuk musim depan,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan pasukan Sabah di Stadium Likas, petang kelmarin.
ROZAMI DALAM PERANCANGAN SABAH
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya yakin Rozaimi akan kekal bersama pasukan musim depan kerana percaya ‘hati dan jiwa’ penyerang berusia 22 tahun itu masih bersama negeri di bawah bayu.“Buat masa ini Rozaimi masih kekal bersama Sabah dan dia juga pernah menyuarakan hasrat untuk terus menabur bakti bersama pasukan negeri kelahirannya.
“Bagaimanapun kita tidak mahu tergesa-gesa untuk memasukkannya semula dalam barisan pasukan kerana kita mahu dia benar-benar sembuh, walaupun sebelum ini dia pernah mengatakan sudah ‘gatal kaki’ untuk beraksi…biarlah dia benar-benar sembuh, kerana jika kita terburu-buru dan dia mengalami kecederaan semula, ianya bukan sahaja merugikan Sabah, tetapi juga negara,” katanya.
CEDERA SEJAK FEBRUARI
Rozaimi yang pernah terpilih menjadi antara 10 pemain terbaik Asia 2012 oleh saluran sukan antarabangsa, ESPN mengalami kecederaan sejak 4 Februari lalu sewaktu menentang Kelantan pada saingan pusingan kedua Piala FA.Beliau kemudian berehat panjang dan kemudian hanya beraksi kira-kira 15 minit ketika Sabah melayan kunjungan Pulau Pinang di Stadium Likas, pada 14 April lalu.