Gaji US$50,000 (RM165,000) sebulan termasuk bonus dan faedah yang dimohon Nicholas Anelka terlalu mahal, kata jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan.
Menurut sumber daripada fz.com, B. Sathianathan menjelaskan pihaknya tidak mampu untuk membayar Anelka, walaupun masih mengharap mimpi tersebut menjadi kenyataan suatu masa nanti."Kami tidak mampu untuk bayar Anelka, walaupun impian itu akan menjadi kenyataan jika dia mendaftar dengan kami. Kami tidak mahu berbelanja besar," kata Sathianathan yang dipetik daripada laman berita berbahasa Inggeris itu.
Anelka yang turut dikenali sebagai 'Le Sulk' dilaporkan sudah bersedia menyertai juara Copa Libertadores 2013, Atletico Mineiro, selepas tidak bersama mana-mana kelab selama sebulan.
Dalam perkembangan lain, ATM sudahpun menandatagani pertahanan Korea Selatan, Park Yong-Ho.
Dipercayai, pengambilan itu dibuat selepas barisan The Gladiators dilihat pincang tanpa beberapa tonggak pertahanan yang mengalami kecederaan antaranya Amirizdwan Taj Tajuddin, K. Reuben dan Spase Dilevski, sekaligus menyaksikan ATM terhumban ke dalam zon penyingkiran Liga Super.
Bekas pemain kelab Busan IPark dan FC Seoul berkenaan menjelaskan pengaruh Sathianathan menjadi faktor dia menyertai Liga M sekaligus bertekad membantu ATM untuk kekal dalam saingan Liga Super.
"Saya mengenali B. Sathianathan ketika mewakili skuad kebangsaan Korea Selatan. Jadi kerana itu saya berminat menyertai ATM dan kehadiran saya adalah untuk membantu ATM yang saya dapat tahu mengalami masalah di bahagian pertahanan," kata Yong-Ho.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita bolasepak terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/Obsesbola