AC Milan, kelmarin menamakan bekas pemain Brazil, Leonardo yang juga pengarah teknikal kelab itu menggantikan Carlo Ancelotti yang menyertai Chelsea.
Berita mengenainya disampaikan oleh Naib Presiden Milan, Adriano Galliani kepada Rai TV.
Ancelotti sebelum itu memberitahu Sky Sport TV dia akan meninggalkan kelab itu selepas anak buahnya menang 2-0 ke atas Fiorentina, sekali gus memastikan juara Eropah sebanyak tujuh kali itu menghabiskan musim ini di tempat ketiga Serie A dan layak bersaing dalam Liga Juara-Juara.
Walaupun masih mempunyai kontrak setahun lagi di kelab itu, Ancelotti mengakui pendedahannya itu sebenarnya tidak baik untuk kelab.
''Hari ini penjelajahan indah saya bersama Milan sampai ke penghujung. Haluan kami berbeza dan saya telah bercakap mengenainya dengan Galliani dan kami bersetuju untuk membatalkan kontrak ini,'' kata Ancelotti dengan nada sedih dan penuh emosi.
Sepanjang lapan musim bersama Milan, Ancelotti telah membantu kelab itu meraih dua gelaran Liga Juara-Juara, satu gelaran Serie A dan satu Piala Dunia Kelab sebelum dikritik hebat dua tahun lalu gara-gara persembahan hambar anak-anak buahnya.
Apa pun, Ancelotti tetap dianggap legenda di kelab itu yang pernah menjulang dua Piala Eropah sebagai pemain pada zamannya dan selaku jurulatih.
Dia juga pernah mewakili Parma dan Roma serta sebagai jurulatih di Reggina, parma dan Juventus sebelum menyertai Milan pada tahun 2001.
Sementara itu Galliani memberitahu Rai TV: ''Leonardo akan menjadi jurulatih Milan yang baru.
''Ancelotti pula tetap akan dikenang. Kami telah berkawan lama dan banyak kenangan manis di sini bersamanya. Carlo dan saya adalah kawan baik.''
Dalam pada itu, Leonardo telah banyak kali disebut-sebut sebagai pengganti Ancelotti sebelum ini.
Bekas pemain tengah berusia 39 tahun itu dan bek kiri Milan antara 1997-2001 itu pernah membantu menjuarai gelaran liga pada tahun 1999.
Dia adalah sebahagian daripada pasukan Brazil yang memenangi Piala Dunia 1994 selepas menewaskan Itali pada perlawanan akhir. - AFP
Leonardo mahu Milan terus menyerang
Jurulatih baru AC Milan, Leonardo berkata, dia mahukan pasukan yang mampu menyerang untuk kembali mengungguli kedudukan teratas.
Leonardo dinamakan selaku jurulatih baru Milan sehari selepas Carlo Ancelotti meletak jawatan sebelum mengisi kekosongan di Chelsea.
Pengurus berusia 39 tahun itu menandatangani kontrak dua tahun bermula 1 Julai 2009 hingga 30 Jun 2011.
“Saya rasa formasi yang akan diatur mungkin sama dengan apa yang ada ketika ini,” katanya. “Kami mempunyai asas yang jelas, corak permainan yang sudah digunakan sejak beberapa tahun lalu. Saya mahukan gaya serangan dan permainan yang menghiburkan.
“Saya rasa kami ketika ini kagum dengan Barcelona atas apa yang sudah mereka lakukan sejak tahun lalu. Ia amat berkesan dan menghiburkan. Tiga untuk serangan bukanlah normal bagi Sepanyol, tapi penyokong makukan permainan bola sepak yang lebih terbuka dengan perolehan banyak gol.”
Pengurus warga Brazil itu, juara Piala Dunia 1994, memilih pemain senegaranya, Kaka dan Ronaldinho sebagai pemain utama yang dapat memperbaiki prestasi kelab bagi musim depan selepas menamatkan musim ini dengan 10 mata di belakang juara liga, Inter Milan dan tersingkir daripada kelompok 32 akhir di Piala Uefa.
Milan juga terpaksa berdepan pasukan lain yang berminat mendapatkan Kaka. Florentino Perez dilantik semula sebagai Presiden Real Madrid, kelmarin, dan sentiasa dikenali sebagai peminat Kaka.
“Saya rasa Kaka, seperti pemain hebat lain, akan menemui tempat yang sesuai dalam pasukan hebat, tapi amat penting memastikannya berada di sini,” kata Leonardo.
Leonardo, yang menghabiskan empat tahun sebagai pemain bersama Milan, tidak memberi sebarang petanda mengenai kemungkinan sasaran perpindahan pemain untuk musim baru.