Jepun waspada jumpa Uzbekistan

http://beritaup2date.blogspot.com/ Pemain Jepun, Keisuke Honda (kiri) mengambil sepakan percuma di hadapan benteng pertahanan Belgium dalam saingan bola sepak Piala Kirin di Tokyo, Ahad lalu. Jepun menang 4-0.

Jurulatih Jepun, Takeshi Okada mahu pasukannya mempertingkatkan permainan selepas menewaskan pasukan yang tidak berada pada kekuatan sebenar, Chile dan Belgium menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010 menentang Uzbekistan, Sabtu ini.


"Keputusan ini masih belum memastikan kami mampu menewaskan Uzbekistan," katanya selepas bekas juara Asia itu menewaskan Belgium 4-0 Ahad lalu diikuti menumbangkan Chile 4-0 minggu lepas dalam Piala Kirin tiga negara.

Chile dan Belgium, kedua-duanya tidak membariskan pemain utama, yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri 1-1 Jumaat lalu.

"Kami perlu merangsangkan semula fikiran kami untuk perlawanan menentang Uzbekistan dan sudah tentu pulang ke tanah air dengan kejayaan.

"Saya pasti kami semua tahu kami tidak boleh memandang mudah perkara ini," katanya selepas meraikan kejayaan memenangi Piala Kirin.

Jepun akan menjadi negara pertama layak ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan jika mereka berjaya mengalahkan Uzbekistan di tempat lawan di Tashkent, layak kali keempat berturut-turut di kejohanan terbesar itu.

Australia mendahului Kumpulan A Asia dengan 13 mata, lebih dua mata dari Jepun, dengan baki tiga lagi perlawanan.


Bahrain pula mengumpul tujuh mata sementara Uzbekistan dan Qatar masing-masing berkongsi empat mata. Dua pasukan teratas akan layak secara automatik.

Bagaimanapun, Okada mengingatkan sasarannya ialah mara ke separuh akhir di Afrika Selatan, satu gol dianggap tidak realistik apabila dia mengambil tugas daripada Ivica Osim pada penghujung 2007 apabila jurulatih Bosnia itu mengalami serangan jantung.

"Kami akan menyasarkannya secara serius dengan kepercayaan tinggi. Selepas itu kami akan cuba memahaminya tentang apa yang perlu dilakukan.

"Semua orang antara kami sedar ia bukan tugas yang mudah. Jadi ia bergantung sama ada kami sudah cukup serius," kata Okada, yang pernah membawa Jepun beraksi pada Piala Dunia 1998 walaupun tanpa mencatat sebarang kemenangan.

Pasukan Samurai Biru itu mara ke suku akhir pada 2002 di bawah jurulatih Perancis, Philippe Troussier tetapi di bawah pemain legenda Brazil, Zico mereka hanya mencatatkan dua kekalahan dan sekali seri di peringkat kumpulan Piala Dunia di Jerman.

Jurulatih Belgium, Frankie Vercauteren berkata, sasaran yang diletakkan Jepun itu bukannya tidak boleh berlaku tetapi perlu realistik. Ia agak sukar kerana banyak pasukan mahu mara ke separuh akhir.


Okada dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan dia begitu berang pada separuh masa kedua kelmarin selepas pasukannya, yang dibarisi pemain perancang Celtic, Shunsuke Nakamura dan pemain tengah Gamba Osaka, Yasuhito Endo agak leka selepas mendahului 2-0 di Stadium Nasional.

Pemain tengah Kawasaki Frontale, Kengo Nakamura menjadi perancang untuk gol pertama kepada Yuto Nagatomo dan menjaringkan gol pada minit ke-23.

"Pasukan mempunyai rentak permainan yang bagus pada 20 minit awal. Namun, mereka memperlahankan rentak permainan selepas mereka merasakan beraksi selama 80 peratus sudah cukup bagus.

"Saya memberitahu mereka pada rehat separuh masa, apa tujuan utama perlawanan ini? Kami dalam usaha untuk mengalahkan Uzbekistan.

"Kami kemudian beraksi dengan agresif pada separuh masa kedua," kata Shinji Okazaki yang menjaringkan gol ketiga dan pemain gantian, Kisho Yano melengkapkan kemenangan dengan gol keempat pada minit ke-77.

Kongsikan artikel ini:
***Jangan lupa like dan follow facebook kami di Kickbola Network dan langgan saluran Telegram Obsesbola untuk kemas kini berita bolasepak terkini.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.