Eksperimen baru FIFA

Kickbola.net BLATTER hadir pada majlis pembukaan Pusat Latihan dan Teknikal Persatuan Bola Sepak Hungary di Budapest baru-baru ini.
Eksperimen baru FIFA

Liga Europa yang akan menggantikan Piala UEFA musim depan akan menampilkan lima pegawai perlawanan sebagai sebahagian eksperimen oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

FIFA merancang untuk meletakkan tambahan dua pegawai perlawanan bagi memantau kawasan kotak penalti bagi membantu pengadil membuat keputusan.

Ia sebagai alternatif kepada cadangan menggunakan rakaman video.

Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) yang dianggotai empat persatuan dari Britain dan empat wakil FIFA bagi menentukan peraturan sukan paling popular di dunia itu telah menyatakan sokongan terhadap eksperimen tersebut.

"Kami melihat di mana kami mampu mengadakan eksperimen ini dan kami telah mencapai penyelesaian bersama dengan Michel Platini (Presiden UEFA) dan UEFA sendiri.

"Mereka (UEFA) sedia untuk mencubanya pada Liga Europa yang akan bermula musim depan," kata Presiden FIFA, Sepp Blatter sebelum Kongres FIFA di Bahamas semalam.


Lantas, perlawanan yang akan dibuat eksperimen tersebut akan bermula pada aksi peringkat kumpulan liga berkenaan.

"Ia (eksperimen) akan dikendalikan di bawah naungan FIFA tetapi UEFA yang melakukannya. Kami berasa gembira kerana mereka sanggup membiayai kosnya," jelas Blatter.

Tatkala Platini berharap sistem itu akan dapat digunakan pada Kejohanan Eropah (Euro) 2012 yang akan berlangsung di Poland dan Ukraine, masih terdapat kemusykilan terhadap terminologi pelaksanaannya.

Blatter pada mulanya merujuk kepada dua penambahan pembantu pengadil sebelum membetulkannya sebagai dua penambahan pegawai perlawanan.

Sistem itu sebenarnya telah digunakan pada kejohanan belia peringkat antarabangsa di Cyprus dan turut pernah dicuba di Slovenia dan Hungary.

Pada percubaan eksperimen itu setakat ini, dua pengawai perlawanan tambahan tersebut akan menghabiskan masa mereka berada di belakang garisan gol, di mana kawasan itu tidak dicapai oleh pembantu pengadil atau penjaga garisan..

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.