Jurulatih Villarreal, Manuel Pellegrini menafikan dihubungi oleh Real Madrid mengenai potensi berpindah ke gergasi bola sepak Sepanyol itu.

"Tiada sesiapa pun dari Real Madrid yang bercakap dengan saya,'' kata Pellegrini semalam, sejurus selepas pasukannya meraih tiket ke Liga Europa - sebelum ini dikenali sebagai Piala UEFA setelah menundukkan Mallorca 3-2.
Bekas presiden Real, Florentino Perez, yang dalam cubaan untuk kembali menerajui kelab itu selepas tiga tahun meletakkan jawatan sebelum ini berkata, jurulatih Arsenal, Arsene Wenger dan Pellegrini adalah calon utama untuk menggantikan Juande Ramos sebagai jurulatih Real.
"Saya sudah menghubungi Villarreal, kami telah menamatkan saingan lagi hari ini, jadi esok kami akan mula bercuti,'' kata Pellegrini.

Real menamatkan Liga Sepanyol selaku naib juara di belakang juara baru Eropah, Barcelona.