

Ballack hanya dimasukkan pada babak kedua ketika Chelsea menundukkan Everton 2-1 untuk muncul juara Piala FA di Stadium Wembley.
"Saya belum lagi menandatangani kontrak tetapi saya sudah bersetuju untuk menyambung setahun lagi bersama pasukan,'' kata Ballack.
Menurut Ballack lagi, dia menjangkakan beraksi di bawah bimbingan Carlo Ancelotti apabila jurulatih AC Milan itu menggantikan Guus Hiddink, musim depan.
"Saya tidak pernah bekerja di bawahnya dan saya tidak begitu mengenalinya, tetapi melihat apa yang telah dilakukan di Milan, saya percaya dia seorang pengurus yang berjaya.
"Ia masih belum disahkan tetapi nampak seperti dia (Ancelotti) akan menjadi jurulatih,'' kata Ballack kepada BBC Sport.
Ancelotti kini menunggu masa untuk mendedahkan sama ada dia bakal menjadi jurulatih Chelsea menggantikan Hiddink selepas saingan Serie A berakhir secara rasmi, hari ini.

Hiddink yang menggantikan Luiz Felipe Scolari, yang dipecat pada Februari lalu akan kembali kepad tugas hakikinya iaitu jurulatih kebangsaan Rusia selepas empat bulan dipinjamkan kepada Chelsea.
Ballack, yang menyertai Chelsea di bawah bimbingan Jose Mourinho pada 2006 telah membantu kelab itu merangkul dua Piala FA.
Namun, kapten Jerman itu menegaskan, dia mahukan kejuaraan yang lebih besar musim depan dan menamatkan dominasi Manchester United.
"Apa yang kami perlukan di Chelsea adalah konsisten. Tidak banyak yang perlu kami ubah untuk memenangi Liga Perdana musim depan.

"Kami memiliki pasukan yang hebat iaitu perkara yang paling penting tetapi malangnya kami kena bertukar pengurus sekali lagi dan kami memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.
"Setiap jurulatih mempunyai pendekatan yang berbeza dan pemain kena mengenalinya - harap kami tidak memerlukan masa yang terlalu panjang kerana kalau ia berlaku, kami akan ketinggalan di belakang,'' kata Ballack.

Menurut Ballack, meski pun bakal bertukar jurulatih, namun dia percaya kehadiran jurulatih baru tidak bermakna Chelsea perlu melakukan pembelian pemain secara besar-besaran.
"Saya tidak fikir kami kena beli mana-mana pemain kerana kami sudah pun memiliki ramai pemain yang bagus di bangku simpanan.

"Ia adalah hak kelab untuk memutuskan tetapi kalau anda lihat prestasi keseluruhan kami sejak beberapa tahun lalu, kami sudah memiliki skuad yang bagus dan menuju ke arah yang betul,'' katanya.