

Atletico hanya memerlukan seri untuk menempatkan diri di tangga keempat, namun semalam mereka mahu menceriakan penyokong tuan rumah dalam perlawanan ke-1000 di Vicente Calderon menerusi kemenangan selesa.
Ini merupakan kali kedua berturut-turut Atletico berjaya melayakkan diri ke kejohanan kelab elit Eropah itu.
Pemain Argentina, Sergio 'Kun' Aguero dan Raul Garcia meletakkan Atletico di depan sebelum Diego Forlan menjaringkan gol ketiga.
Ini juga adalah gol ke-32 Forlan sepanjang musim ini, sekali gus melayakkannya menerima anugerah 'pichichi' atau trofi kasut emas selaku penjaring terbanyak liga.
Atletico bakal menyertai Barcelona, Real Madrid dan Sevilla sebagai wakil Sepanyol dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Kejayaan itu juga menyaksikan kedudukan jurulatih mereka, Abel Resino terselamat sekurang-kurangnya hingga musim depan.
"Pasukan ini tidaklah bersatu sepenuhnya tetapi pemain-pemain kami bekerjasama dan itulah rahsia di sebalik kejayaan kami hari ini.
"Isnin ini (hari ini) kami akan berbincang sama ada saya akan terus berada di sini atau tidak.
"Apa yang telah saya lakukan untuk kelab sangat jelas. Apabila saya tiba di sini, misi utama kami adalah layak ke Liga Europa dan selangkah demi selangkah kami berjaya mendapat ganjaran itu,'' ujar Resino.
Kelab lama Forlan yang juga naib juara musim lalu, Villarreal menundukkan Real Mallorca 3-2 untuk menduduki tangga kelima, sekali gus layak beraksi dalam Liga Europa - sebelum ini dikenali sebagai Piala UEFA.

Villarreal kini harus memberi tumpuan untuk mengekalkan jurulatih mereka, Manuel Pellegrini, 55, yang dikatakan menjadi calon utama untuk dipancing Real Madrid.
Valencia turut meraih tiket ke Liga Europa selepas menumpaskan naib juara Piala Raja Sepanyol, Athletic Bilbao 2-0.
David Villa menjaringkan kedua-dua gol Valencia untuk jaringannya yang ke-28 musim ini dalam perlawanan yang mungkin menjadi penampilan terakhirnya bersama kelab itu.
"Kami akan beraksi ke Liga Europa dengan nada yang tinggi tetapi sudah tentu objektif utama kelab iaitu untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah telah gagal,'' kata Villa.
Villa bagaimanapun enggan bercakap mengenai kontraknya yang dijangka akan tamat itu.
Kemenangan Valencia bermakna Deportivo La Coruna, yang seri 1-1 dengan Barcelona gagal untuk meraih tiket ke Liga Europa.
Meskipun sudah meraih segala kegemilangan yang dicari musim ini dengan merangkul gelaran trebel, namun Barcelona tetap memberi tumpuan pada perlawanan terakhir liga itu.
Jurulatih, Pep Guardiola menurunkan lima pemain daripada kesebelasan utama yang menundukkan Manchester United 2-0 dalam final Liga Juara-Juara Eropah, dan Samuel Eto'o, yang menjaringkan gol pembukaan mereka di Rome menyumbat gol penyamaan ketika bertemu Deportivo.